Dua lelaki warga asing giat diburu pasukan polis daerah Lahad Datu selepas dipercayai menyamun seorang lelaki di kawasan Kampung Cocos kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, lelaki berusia 20 tahun itu dalam perjalanan dari kediamannya di Kampung Cocos menuju ke Bandar Tabanak Batu 1 bagi menghantar air tebu kepada pelanggan.

"Ketika dalam perjalanan, mangsa terserempak dengan dua lelaki bersama motosikal di tepi jalan.

"Mangsa kemudian berhenti untuk membantu dan dimaklumkan bahawa motosikal yang ditunggang kedua lelaki tersebut mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan media.

Menurut Nasri, mangsa yang bekerja sebagai perkhidmatan menghantar barang (runner) itu kemudian meminjamkan telefon bimbit kepada suspek untuk menghubungi rakannya.

"Suspek kemudian bercakap dengan rakannya dan tiba-tiba rakan suspek itu terus menarik beg sandang yang dipakai mangsa lalu memecut laju.

"Dalam keadaan kelam-kabut, mangsa cuba menahan motosikal suspek tetapi gagal menyebabkannya jatuh dan mengalami bengkak pada kaki kirinya," katanya.

Tambah Nasri, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM245 selain sebuah telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri dan kad bank yang dilarikan suspek.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.