JOHOR BAHRU: Percubaan untuk membolosi sempadan perairan negara oleh sindiket penyeludupan khususnya migran dan kontraban pada setiap malam menunjukkan peningkatan sejak April lepas.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata aktiviti berkenaan dikesan kerap berlaku antara pukul 8 malam hingga 4 pagi.

"Selepas ekonomi negara dibuka semula, kita kesan peningkatan cubaan untuk merentas sempadan negara berlaku setiap malam, namun majoriti daripadanya dapat dipatahkan.

"Menerusi penguatkuasaan yang kita jalankan, majoriti daripada percubaan ini sama ada dapat ditahan ataupun mereka berpatah balik, setelah bot dinaiki mereka dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan 'Rigid Hull Fender Boat' (RHFB) Kelas Perkasa kepada Maritim Malaysia di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut sudah dijangka akan berlaku berikutan adanya permintaan iaitu bekalan dan permintaan di pasaran tempatan, membabitkan kekurangan tenaga kerja di sektor-sektor tertentu termasuk perladangan dan perkhidmatan.

"Sasaran utama sindiket penyeludupan ini adalah negeri di selatan tanah air iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan kerana jaraknya yang paling hampir, namun baru-baru ini kita mengesan ada cubaan menyeludup masuk melalui negeri utara seperti Pulau Pinang," katanya.

Mohd Zubil berkata, sejak Januari hingga 10 Jun lepas, Maritim Malaysia telah menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan dengan rampasan bernilai lebih RM55.8 juta.

Katanya sebanyak 442 tangkapan antaranya melibatkan pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan migran dan kontraban, serta kapal berlabuh tanpa kebenaran dilakukan menerusi 76,026 pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh berkenaan.

Mengulas mengenai memperkukuh pengoperasian penguatkuasaan dan carilamat di perairan negara, beliau berkata pihaknya telah menerima sejumlah 27 unit RHFB dan akan menerima baki tiga lagi unit bot sama menjelang Ogos depan, melalui perolehan bernilai RM46.5 juta.

"RHFB akan bertindak sebagai bot pemintas selepas Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), mengesan pergerakan bot-bot pancung yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan.

"Apabila sistem SWASLA mengesan pergerakan bot-bot pancung, unit RHFB akan digerakkan ke lokasi terbabit untuk melakukan pintasan, bagi menjaga kedaulatan dan undang-undang negara," katanya.

-- BERNAMA