TELUK INTAN: Dua lelaki tempatan diberkas selepas cubaan membunuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang menjalankan siasatan berhubung kejadian samun, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis turut melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan cermin kereta dinaiki suspek, untuk mempertahankan diri.

Menurutnya, kejadian bermula kira-kira jam 11.30 pagi apabila pihak polis menerima aduan kejadian samun bersenjatakan parang yang disiasat IPD Ipoh.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh telah berjaya mengesan dan mengekori suspek dari Ipoh menghala ke Kampung Gajah.

“Sampai di Kampung Gajah, suspek, dipercayai dua lelaki warga tempatan berumur 28 dan 31 tahun menyedari kehadiran pihak polis lalu memecut kenderaan dinaiki sehingga dapat ditahan berhampiran sebuah masjid Labu Kubong,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kata Ahmad Adnan, semasa proses tangkapan, suspek telah membuat pusingan-U secara tiba-tiba dan mengundurkan kereta sehingga melanggar hadapan kenderaan polis.

Menurutnya, salah seorang anggota polis cuba untuk membuka pintu belakang kereta suspek untuk menangkap suspek yang duduk di bahagian belakang.

Namun, katanya, cubaan itu gagal kerana suspek yang memandu telah mengundurkan kereta secara berbahaya sehingga mengheret salah seorang anggota menyebabkan polis melepas satu das tembakan.

“Suspek terus memandu kereta secara mengundur sehingga dihalang oleh sebuah kenderaan lain.

“Semasa dihalang, penumpang bahagian belakang telah keluar dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan oleh pihak polis,” ujarnya.

Ahmad Adnan berkata, seorang lagi suspek telah memandu kereta ke hadapan dan berundur beberapa kali dan melarikan diri tetapi berjaya ditahan semula di Kampung Rapat Ipoh.

Menurutnya, suspek tersebut mengalami luka di bahagian bahu kanan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, semakan mendapati suspek yang memandu kereta mempunyai 24 rekod lampau manakala seorang lagi 11 rekod.

Tambahnya, polis juga menemui paket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun semasa tangkapan dilakukan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.