JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor berjaya menggagalkan satu cubaan penyelewengan minyak diesel melibatkan kira-kira 800 liter dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Pasir Gudang, semalam.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan tersebut adalah hasil tindakan pantas Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) yang menahan dan memeriksa sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 2 petang.
Advertisement
“Pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan dua pam yang disambungkan terus dari tangki asal kenderaan ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang ditempatkan di ruang simpanan,” katanya
Menurut beliau, tangki IBC tersebut dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter diesel yang disyaki untuk tujuan penyelewengan.
Dalam pada itu, pemandu lori berusia lingkungan 40-an gagal mengemukakan sebarang dokumen sah, termasuk permit khas bagi penyimpanan atau tujuan pembelian minyak diesel berkenaan.
“Susulan itu, pihak kami telah menyita kenderaan serta bahan api yang terlibat untuk tindakan lanjut,” jelasnya lagi
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,716.
Sehubungan itu, kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihak KPDN memberi amaran tegas bahawa sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.