PORT DICKSON: Orang ramai boleh menggunakan cuka sebagai rawatan awal untuk sengatan ubur-ubur, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Wan Muhammad Aznan Abdullah.

Beliau berkata kesan racun daripada sengatan hidupan marin itu dapat dikurangkan dengan menggunakan kaedah tradisional tersebut, malah menurutnya cuka sememangnya disediakan di jeti di taman-taman negara.

"Secara tradisinya, apabila terkena sengatan ubur-ubur, memang perlu menggunakan cuka sebelum mendapatkan rawatan lanjut di klinik bagi mengelakkan kesan racun haiwan berkenaan bertambah teruk," katanya kepada pemberita pada Program Labuh Tukun Tiruan Kuboid Karang (Konservasi) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun meninggal dunia akibat sengatan ubur-ubur semasa mandi di pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, Perak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir berkata sejak 2008 sehingga kini, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM1.45 juta bagi membina dan melabuhkan tukun jenis rekreasi dan konservasi di sepanjang perairan Port Dickson.

Katanya kos membina dan melabuhkan sembilan unit tukun tiruan pada hari ini ialah sebanyak RM300,000.

Bakri berkata pihaknya bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan komited dalam memastikan kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin, selain memastikan keindahan dasar laut di perairan itu terpelihara serta dapat dinikmati para penyelam.

BACA: Kanak-kanak warga Perancis maut terkena sengatan ubur-ubur di Pulau Pangkor

BACA: Jabatan Perikanan tidak dapat kenal pasti spesies ubur-ubur beracun di Pulau Pangkor

"Program kesedaran seperti ini penting bagi memastikan orang ramai menghargai dan menjaga ekosistem marin dengan mengurangkan penggunaan plastik dan tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam laut yang berkemungkinan menjejaskan kehidupan ikan dan haiwan marin lain," katanya.

-- BERNAMA