LUMUT: Jabatan Perikanan Negeri Perak tidak dapat mengenal pasti spesies ubur-ubur di Pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor dekat sini kerana tiada penampakan haiwan berkenaan di situ semasa tinjauan dilakukan, pada Rabu.

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata tinjauan itu dilakukan susulan laporan media sebelum ini berkenaan kematian seorang kanak-kanak warga Perancis berusia lima tahun selepas didakwa disengat ubur-ubur.

Menurut Noraishah, walau bagaimanapun Jabatan Perikanan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan supaya dapat meletakkan papan tanda amaran berkenaan haiwan berbahaya di kawasan itu.

Jelasnya, papan tanda amaran tersebut akan memaparkan nasihat kepada pengunjung untuk lebih berhati-hati ketika mandi di laut dan tidak menyentuh sebarang jenis ubur-ubur di laut.

“Jabatan Perikanan Malaysia melalui Institut Penyelidikan Perikanan telah menjalankan kajian pada tahun 2009, 2012 dan 2015 di perairan Malaysia termasuk perairan Teluk Lekir dan Pulau Pangkor.

“Dapatan kajian mencadangkan tiga spesies ubur-ubur beracun yang dilaporkan berada di perairan Malaysia iaitu box jelly (Chironex fleckeri), lion’s mane jellyfish (Cyanea capillata) dan Portuguese man o' war (Physalia physalis).

“Jika seseorang terkena atau tersentuh dengan bahagian ‘tentacle’ ubur-ubur ini ia boleh memudaratkan dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.  

Tambahnya, orang ramai diminta sekiranya terlihat kehadiran haiwan berkenaan untuk mengambil gambar dan memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri supaya spesies ubur-ubur itu dapat dikenal pasti.

Pada Rabu, seorang kanak-kanak warga Perancis dilaporkan meninggal dunia selepas terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi di Pantai Teluk Nipah.

Dalam kejadian jam 6.45 petang Isnin, mangsa berusia lima tahun itu dipercayai disengat obor-obor di perut, tangan kiri dan kaki kiri.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pangkor.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seri Manjung di Perak mendapati punca kematian adalah disebabkan jellyfish envenomation atau pembisaan ubur-ubur dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.