"Hadiah Raya terbaik bagi saya ialah kepulangan suami," demikian luahan hati Sharifah Erna Berson, isteri anggota polis marin yang diculik, Konstabel Zakia Aleip.

Sharifah, 23, berkata beliau tidak dapat membuat sebarang persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang minggu depan kerana merasa amat sedih dengan kejadian yang menimpa suaminya.

"Bagaimana saya mahu melakukan sebarang persiapan sedangkan keadaan keselamatan dia masih terumbang ambing," katanya.

Hari ini masuk hari kesepuluh Zakia ditahan penculik.

Sharifah berkata selain mendoakan kesejahteraan suami di bawah perlindungan Allah S.W.T, beliau mengerjakan solat hajat setiap kali timbul perasaan rindu terhadap Zakia.

"Saya ada menerima panggilan terakhir daripada suami pada minggu lepas yang sempat bertanyakan khabar anak sulung, Muhamad Hisyam Izzuddin yang berusia empat bulan kerana dia tahu ketika itu anak kami hampir kehabisan susu dan dia (Zakia) menangis.

"Dia juga menyatakan dirinya selamat dan masih boleh menunaikan solat," kata Sharifah dan menambah perbualan itu begitu ringkas - kira-kira tiga minit.

Terdahulu, Sharifah menerima sumbangan daripada Koperasi Polis Berhad berjumlah RM5,000 pada majlis pelancaran Ops Selamat 5/2014 yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Pada 12 Julai lepas, Zakia, 26, dilarikan sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat yang melakukan serang hendap terhadap Pasukan Polis Marin di Pulau Mabul, Semporna.

Kejadian 11.10 malam itu turut mengorbankan rakan sepasukannya Koperal Ab Rajah Jamuan, 32.