Kerajaan kini sedang melakukan pelbagai usaha untuk membebaskan empat rakyatnya yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Sabah, 1 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain rundingan rasmi bersama pihak berkuasa Filipina, kerajaan Malaysia turut mengadakan rundingan bersama Kumpulan Culik untuk Tebusan (Kidnap for Ransom).

"Kita telah mengadakan rundingan secara rasmi dan tidak rasmi. Secara rasmi kita telah ada rundingan bersama pihak berkuasa Filipina iaitu dengan pihak tentera dan polis.

"Secara tidak rasmi dengan kumpulan Kidnap for Ransom (KFR) dan kita mengharapkan agar tidak ada mainan politik yang dilakukan pihak dalaman di Malaysia dan di negara berkenaan kerana ia melibatkan nyawa," katanya kepada Astro AWANI selepas temubual eksklusif Analisis KHAS Awani Sarawak Memilih di sini hari ini.


Justeru, beliau mahu ahli keluarga mangsa terus memberi keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini selain mahu isu tersebut tidak dipolitikkan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, katanya tidak semua maklumat berkenaan proses rundingan boleh disalurkan kepada orang ramai.

"Saya mahu keluarga mereka supaya bertenang dan yakin dengan apa yang sedang dijalankan. Parti-parti politik yang memanipulasikan hendaklah menghentikan manipulasikan politik dengan membawa keluarga ke pentas.

"Saya harap pegawai-pegawai dan individu tertentu yang terlibat dalam negosiasi ini istiqamah menentukan supaya diteruskan perundingan dan saya yakin ada ketikanya di mana maklumat-maklumat tidak perlu diketahui umum, cukup sekadar diketahui dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa tertentu dan individu tertentu," katanya yang kini berada di Sarawak bagi membantu jentera Barisan Nasional dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata empat rakyat Malaysia tersebut masih lagi hidup.

Pada 1 April, empat lelaki dari Sarawak - Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, telah diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Sabah.

Mereka adalah antara sembilan anak kapal bot tunda yang dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia.