SHAH ALAM : Terdesak mendapatkan bekalan dadah dan faktor kewangan disyaki merupakan punca seorang sarjan sanggup memecah masuk stor ekshibit Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota berusia 44 tahun itu berjaya ditahan pada Isnin jam 12.30 tengah hari di IPD Sepang.

Hussein berkata, hasil siasatan membolehkan pihak polis merampas 276 sampul barang kes yang mengandungi 486 gram dadah jenis heroin dan syabu.

Bagaimanapun beliau berkata, sebanyak 404 sampul barangan kes melibatkan dadah seberat 724 gram masih belum ditemui.

"Suspek mengaku melakukan perbuatan pecah masuk ke stor ekshibit dengan menggunting pagar duri, seterusnya mengambil barangan kes yang mahu dilupuskan di ruang legar stor pejabat pentadbiran barang kes.

"Namun dia gagal memasuki bilik stor ekshibit sebenar menyimpan pelbagai barangan kes yang masih dalam proses siasatan.

"Pihak polis masih melakukan siasatan sama ada suspek mahu menjual barangan kes yang dicuri tersebut," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, sarjan tersebut yang merupakan penolong pegawai penyiasat di Unit Komersial IPD Sepang telah menyembunyikan dadah dicuri di dalam plastik hitam dan disorokkan di dalam semak di kawasan perumahannya di kompleks perumahan kerajaan di Nilai.

Jelasnya, suspek yang telah bertugas selama 21 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagaimanapun mempunyai masalah disiplin.

Menurut beliau, ketika kejadian pecah masuk, suspek dalam proses tahan kerja kerana terlibat dengan najis dadah.

"Sarjan ini telah ditahan pada 14 Julai lalu kerana terlibat dengan penagihan dadah.

"Ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan syabu," ujarnya.

Tegas Hussein, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan kesalahan. - Sinar Harian