Jumlah kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau di Sarawak terus meningkat selepas daerah Bau turut disenaraikan pada Sabtu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan zon hijau COVID-19 di Sarawak ketika ini kepada 34 kawasan setakat ini.

Pengumuman dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menerusi kenyataan sama, masih terdapat enam kawasan yang masih dikategorikan sebagai zon kuning.

Antara kawasan tersebut adalah Kuching, Samarahan, Tebedu, Lundu, Sibu dan Serian.

Dalam pada itu, kenyataan turut melaporkan, Sarawak hari ini tidak mencatatkan sebarang kes positif terbaharu COVID-19 dan angka kes positif masih kekal dengan 544 kes setakat ini.


Manakala 23 kes dilaporkan telah sembuh dan discaj dari hospital menyaksikan 19 kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS), tiga dari Hospital Bintulu dan satu dari Hospital Sibu.

Antara lain 24 kes Person Under Investigation (PUI) juga dilaporkan manakala 24 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.