IPOH: Perak Tengah dilanda banjir sekali lagi, manakala keadaan banjir di Daerah Muallim pulih sepenuhnya daerah setakat jam 10 pagi ini.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, 10 mangsa dari tiga keluarga di Kampung Tersusun Teluk Memali dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai kampung berkenaan yang dibuka 2.30 petang semalam.

Katanya, jumlah mangsa banjir di Perak setakat ini menurun kepada 131 orang dari 34 keluarga, berbanding 147 orang daripada 39 keluarga sebelum ini.

Hilir Perak mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 93 orang dari 24 keluarga, diikuti Manjung seramai 28 orang dari tujuh keluarga.

PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Slim River di Daerah Muallim yang dibuka pada Isnin untuk menempatkan 15 mangsa dari lima keluarga, ditutup jam 10 pagi ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya jangan menunggu sehingga saat-saat akhir kerana keadaan cuaca yang tidak menentu  sekarang boleh menyebabkan air naik mendadak.

“Apabila air dah naik hingga paras dada baru nak pindah, ia akan menimbulkan masalah kerana logistik mungkin digunakan di kawasan lain,” katanya kepada pemberita selepas program di Perak FM di sini, semalam.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko harus mengambil pengajaran daripada kejadian banjir besar yang berlaku pada 2014 apabila air banjir naik mendadak.