Tun Malaysia Venecia Zaman Riera, nama diberi.

Sejak kecil, gadis berusia 19 tahun ini sering diejek.

Namun dewasa ini, dia mula menghargai erti di sebalik namanya itu.


"Masa saya kecil, saya selalu diejek.. 'Cuti cuti Malaysia, Malaysia Boleh'... Sekarang sudah dewasa saya kini memahami apa maksud Malaysia dan ertinya kepada semua rakyat Malaysia.

"Saya mula suka nama yang cantik ini. Sekarang kalau orang ejek 'Malaysia Boleh' saya balas balik, 'oh ye ke.. ya Malaysia Boleh, saya memang boleh, awak boleh?'" katanya kepada Astro AWANI.

Menariknya, anak keturunan Megat Terawis ini, dinamakan sempena dua negara, Malaysia dan Venezuela.

Tun Malaysia kelahiran kacukan Malaysia dan Venezuela. - Astro AWANI / Tan Su Lin
Anak kacukan dua buah negara berkenaan merupakan kelahiran kedua kepada pasangan Tun Kamalul Zaman dan Victoria Margarita Sanchez.

Ketika Tun Malaysia dilahirkan, Tun Kamalul merupakan seorang perunding teknologi maklumat (IT) sedang bertugas di Venezuela yang amat merindui tanah airnya.

"Saya dilahirkan di Venezuela. Ketika itu, ayah saya seorang yang amat patrotik merindui Malaysia dan mencadangkan kepada ibu supaya saya dinamakan 'Malaysia.' Ibu saya pun setuju.

"Tetapi ibu saya ada sedikit iri hati sebab nama saya ada nama bapa. Jadi dia nak letak nama Venezuela tetapi ia terlalu panjang.

"Jadi mereka setuju meletakkan nama 'Venecia' iaitu nama lama Venezuela. Jadi nama saya Malaysia Venecia," katanya.

Biarpun dilahirkan di luar negara, namun Malaysia sentiasa jadi 'rumah' baginya.

"Malaysia adalah tempat saya membesar dari kecil sejak saya berumur 4 tahun. Jadi ini adalah rumah saya," katanya.

Walaupun dilahirkan di Venezuela, tetapi Tun Malaysia membesar dan bersekolah di Malaysia. - Astro AWANI / Tan Su Lin

Fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Sepanyol, asal usul keturunannya sentiasa dekat di hati.

Dia dan adiknya mempelajari Silat Gayung Fatani sejak usia muda dan pernah terlibat dalam pertandingan silat tempur.

Bagi gadis ini, erti Malaysia bukan hanya pada namanya, tetapi setiap rakyat berbilang kaum yang hidup secara aman dan harmoni.

"Malaysia telah menghubungkan kita dengan Sabah dan Sarawak menjadikan kita sebuah negara yang mempunyai pelbagai budaya.

"Bagi saya, Malaysia adalah bermaksud kesatuan di mana kita bersatu padu membentuk sebuah negara, seperti ungkapan Satu Malaysia," katanya.

Apakah erti Malaysia buat anda?