Skip to main content

Malaysia

Daie Madani, beberapa pertubuhan serah memorandum sokong pemerkasaan integriti Tabung Haji

RCI Tabung Haji_Astro AWANI
Menurut mereka, usaha berkenaan penting bagi mengembalikan TH mengikut Akta Tabung Haji, selain mengutamakan pelaburan dan kebajikan bakal tetamu Allah. - Foto Daie Madani
Advertisement

KUALA LUMPUR: Daie Madani menyokong usaha memperkukuh integriti dan tatakelola Tabung Haji (TH) susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. 

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Pengerusi TH pada Jumaat, pertubuhan itu berkata, usaha berkenaan penting bagi mengembalikan TH mengikut Akta Tabung Haji, selain mengutamakan pelaburan dan kebajikan bakal tetamu Allah.

“Kami Daie Madani berdiri teguh bersama pihak pentadbiran Tabung Haji yang diterajui oleh Tan Sri Datuk Abdul Rashid Hussain, Pengerusi Tabung Haji bagi memastikan wang pendeposit sentiasa diuruskan dengan penuh amanah dan jujur serta mengembalikan kepercayaan rakyat keseluruhan kepada institusi yang banyak berjasa kepada umat Islam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Daie Madani turut menuntut pengurusan Tabung Haji melaksanakan baki 25 peratus syor pemulihan TH hasil daripada laporan RCI.

“Kami juga menuntut agar pengurusan Tabung Haji melaksanakan baki 25 peratus syor pemulihan Tabung Haji hasil daripada laporan RCI serta mendedahkan petualang yang memburukkan imej Islam tanpa rasa takut dan menjamin peristiwa hitam umat Islam ini tidak berulang lagi,” kata kenyataan itu. 

Daie Madani adalah gerakan nasional baharu bagi memperkasa peranan asatizah muda dalam menyampaikan mesej Islam secara kolektif dan inklusif.

Dalam masa sama, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) yang dianggotai beberapa pertubuhan seperti IKRAM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut mengemukakan memorandum berhubung isu Laporan RCI Tabung Haji.

Gabungan itu menuntut tindakan undang-undang disegerakan terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah atau penyelewengan berdasarkan bukti serta proses perundangan.

HIKAM turut menggesa kerajaan dan TH mendapatkan semula wang, aset atau manfaat yang didakwa disalahgunakan, selain meneruskan reformasi tadbir urus, termasuk semakan Akta Tabung Haji 1995 dan pelaksanaan syor RCI secara terbuka serta berjadual.

Pada masa sama, gabungan itu menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu Tabung Haji, sebaliknya memastikan institusi berkenaan terus diperkukuh melalui prinsip amanah, ketelusan dan akauntabiliti

Must Watch Video

Advertisement