PUTRAJAYA: Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bakal dilancarkan bagi memacu pembangunan sektor agrikomoditi secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran selaras dengan norma baharu serta peningkatan penggunaan digital pasca-COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini hari ini, beliau berkata DAKN 2021-2023 akan dilancarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020.

"Dasar baharu ini yang akan memayungi pembangunan agrikomoditi negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman," katanya.

Menurut Ismail Sabri, DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

"Ia akan melahirkan pekebun kecil 'pintar' yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi. Dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam sektor industri hiliran agrikomoditi," katanya.

Beliau berkata pada 2020, sektor agrikomoditi telah menyumbang kira-kira RM85 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang mana sumbangan KDNK huluan agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion, manakala hiliran mencecah RM38 bilion.

Meskipun pandemik COVID-19 melanda negara, nilai eksport produk agrikomoditi pada 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion, dengan mencatatkan peningkatan kira-kira 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada 2019, katanya.

Pada 2021, katanya jumlah eksport agrikomoditi terus memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik COVID-19, dengan sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Menurutnya, prestasi berkenaan banyak didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.

Sebagai contoh, katanya jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan dengan peningkatan eksport melebihi sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada 2020 kepada RM17.8 bilion pada 2021.

Ismail Sabri berkata Malaysia juga muncul sebagai negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan.

Perdana Menteri juga menaruh harapan tinggi agar sektor agrikomoditi, yang merupakan sumber pendapatan bagi hampir satu juta pekebun kecil, dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

Dalam usaha membangunkan ekonomi, Perdana Menteri berkata Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran terutama sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap hasil keluaran agrikomoditi negara seperti minyak sawit dan getah.

"Namun demi semangat Keluarga Malaysia, warga KPPK dan agensi dengan dokongan para pemain industri perlu berdiri teguh untuk mempertahankan produk negara agar terus diterima di seluruh dunia dan diangkat kedudukannya," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan sektor agrikomoditi terus kukuh dan menerusi Bajet 2022, peruntukan kira-kira RM670 juta diberikan kepada KPPK bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Sejak berdekad, katanya sektor agrikomoditi telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia dan berjaya mengurangkan jumlah keluarga yang dibelenggu kemiskinan.

Menurutnya, kadar kemiskinan nasional pada tahun 1970 adalah pada tahap 49.3 peratus dan telah menurun kepada 5.6 peratus pada tahun 2019 dan beliau percaya penurunan itu sebahagiannya adalah sumbangan daripada sektor agrikomoditi.

-- BERNAMA