IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak telah merujuk laporan seorang Ahli Parlimen berhubung mesej yang disyaki berunsur rasuah kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan yang dibuat setiausaha sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran pada jam 1.56 petang Sabtu.

Ia berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah melalui dua nombor telefon tidak dikenali yang diterima kira-kira jam 10.30 malam Jumaat.

Kata Mior Faridalathrash, laporan itu dihantar kepada pihak SPRM Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurutnya, dua lagi laporan polis telah dibuat di Kedah dan Pulau Pinang berkaitan perkara sama.

“PDRM Perak ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini memandangkan ia masih lagi disiasat oleh pihak SPRM bagi mengelakkan daripada mengganggu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada Sabtu, Kulasegaran mendakwa beliau telah dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan di aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah pada Jumaat.

Beliau mendakwa tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.