KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad diminta agar tidak mengelak daripada “kenyataan sebenar” berhubung aset yang dimiliki oleh beliau dan keluarganya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, umum sememangnya mengetahui kekayaan yang dimiliki oleh bekas Perdana Menteri itu.

“(Tun M minta kemukakan bukti?)… dah ada, kalau anak ada pesawat, kapal dan ada syarikat berbilion-bilion. Nak bukti apa lagi?

“Semua orang tahu. Ini (seperti) menegakkan benang yang basah,” dakwa Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan bekas Dr Mahathir agar Anwar mengemukakan bukti yang didakwa berpuluh kotak.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menggesa dan mencabar Dr Mahathir mendedahkan segala aset dimiliki beliau serta keluarganya.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memulangkan paku buah keras apabila mencabar Anwar untuk mendedahkan kekayaan dimilikinya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Menjawab gesaan tersebut, Anwar berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk berbuat demikian.

“Saya di antara orang yang mengisytiharkan harta dan dia (Dr Mahathir) yang tidak.

“Baru-baru ini saya isytihar sebanyak RM11 juta dan itu harga rumah di Segambut. Itu bukan lagi rahsia dan diketahui umum,” kata Anwar.

Pada Mac 2019 sewaktu era pentadbiran Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh, kedua-dua pemimpin itu telah pun membuat pengisytiharan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepertimana dikehendaki kerajaan PH.

Anwar mengisytiharkan nilai keseluruhan aset miliknya sebanyak RM10.74 juta, manakala Dr Mahathir pula RM32.3 juta.