KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada mengenakan tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa melemparkan kata-kata kesat di Dewan Rakyat akan diputuskan pada Selasa.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, beliau telah mengatur pertemuan dengan sebahagian saksi bagi mendapatkan perincian lanjut berhubung perkara itu.

"Sepertimana cadangan saya pada waktu itu supaya menulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan surat telah dihantar kepada Yang Dipertua, saya pun menerima surat itu.

"Oleh kerana, Yang Dipertua meminta untuk saya mengendalikannya, saya baru terima surat tersebut dan sedang dalam proses (penelitian).

"Sebahagian saksi telahpun saya aturkan pertemuan dengan mereka, dan saya akan rumuskan keseluruhan dan berikan jawapannya dalam minggu ini, selewat-lewatnya esok untuk saya buat keputusan," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sebelum itu, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4) dan memaklumkan telah menghantar surat kepada Tan Sri Azhar Azizan Harun pada minggu lepas, meminta agar Tajuddin memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berbaur lucah.

Jelas Kasthuri, tindakan Tajuddin itu disifatkan sebagai mengejutkan dan satu perbuatan yang tidak senonoh serta tidak boleh diterima.

"Pada masa kita menggalakkan anak muda dan wanita menjadi wakil rakyat yang berintegriti dan berkualiti, kita dihadapkan dengan seorang Ahli Parlimen di sana (blok kerajaan) yang mengeluarkan kata-kata ini (didakwa lucah).

"Ketika kejadian, Timbalan Yang Dipertua (Rashid) mempengerusikan dan hanya melepaskan beliau dengan sekadar amaran sahaja. Saya amat kecewa dengan sembilan Ahli Parlimen menjadi saksi pada hari tersebut apabila Ahli Parlimen Pasir Salak mengeluarkan kata-kata lucah semasa mikrofonnya ditutup.

"...Ditutup atau dibuka (mikrofon), ia telah berlaku dan sembilan Ahli Parlimen menjadi saksi," tegasnya.

Rabu lalu, Dewan Rakyat kecoh apabila Tajuddin melabelkan segelintir Ahli Parlimen wanita daripada DAP sebagai 'mulut cabul' dan berperangai tidak senonoh.

Tuduhan itu dibuat sebagai membidas kenyataan Teo Nie Ching (PH-Kulai), yang mendakwa beliau dan dua lagi Ahli Parlimen kerajaan sering membuat kenyataan seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen di blok pembangkang mendakwa mendengar Tajuddin melemparkan kata-kata kesat ketika mikrofon ditutup.