KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencabar Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk mengangkat sumpah jika benar Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak mengeluarkan kata-kata kesat di Dewan Rakyat pada Rabu.

Pengerusi DAP itu berkata, Dewan Rakyat wajar memanggil Tajuddin untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataan tersebut sekiranya beliau ada melemparkan kata-kata kurang sopan.

"Laporan dalam akhbar The Star (berhubung kata-kata kesat), jelas menunjukkan bahawa YB Pasir Salak ada mengeluarkan satu kenyataan lucah dan kesat yang tidak harus didengar di dalam dewan yang mulia ini. 

"Tan Sri Yang Dipertua boleh panggil dia... janganlah main-main tentang perkara ini, kalau ada sebut, sila tarik balik dan minta maaf. Sekiranya dia tidak keluarkan kenyataan tersebut, nyatakan dengan jelas dia tidak keluarkan kenyataan.

"Kita akan cabar dia, kalau dia berani angkat sumpah... sumpah bahawa dia tidak keluarkan kenyataan kesat kerana semua (Ahli Parlimen blok Pembangkang) dengar di sini," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Guan Eng dalam masa sama menyeru Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun supaya melakukan sesuatu untuk membetulkan perkara tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang di Dewan Rakyat.

Menjawab perkara itu, Azhar berkata, akan meneliti lebih lanjut sebelum membuat sebarang keputusan memandangkan ketika kejadian, beliau tidak mempengerusi sidang Dewan Rakyat.

"Secara terang bukan saya waktu itu yang mengendalikan (Dewan Rakyat). Saya tak tahu sama ada waktu (kejadian), Timbalan Yang Dipertua, Datuk Rashid atau Datuk Ramli (mempengerusikan Dewan Rakyat).

"Apa-apa pun yang saya akan bincang dengan pengerusi majlis pada waktu itu untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi," jelas beliau.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Tajuddin melabelkan segelintir Ahli Parlimen wanita daripada DAP sebagai 'mulut cabul' dan berperangai tidak senonoh.

Tuduhan itu dibuat sebagai membidas kenyataan Teo Nie Ching (PH-Kulai), yang mendakwa beliau dan dua lagi Ahli Parlimen kerajaan sering membuat kenyataan seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.