PUTRAJAYA: DAP meneruskan gesaannya agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam ‘mafia korporat’, baru-baru ini.
Pengerusi DAP kebangsaan Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan berkata walaupun SPRM menafikan dakwaan itu yang dianggap sebagai tidak berasas berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak mempunyai nama pemilik, penafian semata-mata tidak mencukupi memandangkan betapa seriusnya dakwaan tersebut.
Advertisement
“Walaupun SPRM menyangkal dakwaan ini sebagai tidak berasas dan berpunca daripada blog tanpa nama, dan mereka berhak berbuat demikian, penafian semata-mata daripada pihak mereka sahaja tidak mencukupi. Prinsip keadilan asas ialah tiada sesiapa yang harus menjadi hakim dalam kes mereka sendiri.
"Apabila integriti agensi pencegah rasuah utama kita dipersoalkan, penafian yang dibuat sendiri tidak memadai. Hanya begitu sahaja, tanpa lebih daripada itu, tidak banyak membantu memulihkan keyakinan orang ramai atau pelabur," katanya.
Gobind, yang juga Menteri Digital berkata DAP berpendapat terdapat asas yang mencukupi dalam dakwaan tersebut untuk memulakan siasatan, justeru mewajarkan penubuhan RCI kerana ia akan dilengkapi dengan kuasa berkanun yang diperlukan untuk menjalankan siasatan yang wajar.
Gobind berkata dakwaan itu telah mendapat perhatian meluas di dalam dan luar negara, sekali gus memerlukan tindakan tegas segera diambil.
"Ini bukan untuk mencari kesalahan atau menyalahkan sesiapa, tetapi untuk menunjukkan bahawa SPRM kekal bebas daripada sebarang syak wasangka dan dakwaan yang menjejaskan integriti atau kredibilitinya.
“Ini juga bukan bertujuan untuk melemahkan SPRM tetapi sebaliknya mengukuhkannya lagi, menunjukkan bahawa semua agensi yang diamanahkan dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di negara ini sentiasa tertakluk kepada siasatan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Dakwaan ‘mafia korporat’ berkisar tentang dakwaan bahawa pegawai kanan SPRM mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam yang tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun yang tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.
SPRM menerusi satu kenyataan semalam menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.
Badan pencegah rasuah itu menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan dipercayai berasal dari sebuah blog dalam talian tanpa pemilik, pengarang atau akauntabiliti yang jelas.
Kerajaan telah membentuk jawatankuasa siasatan khas yang dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk menyiasat dakwaan ini, termasuk yang melibatkan ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
-- BERNAMA