KUALA LUMPUR: Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, yang bermula 24 April hingga 3 Mei ini, berpotensi melakar sejarah baharu dalam badminton dunia.
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata dua pasukan, iaitu Perancis dan Taiwan mampu menjadi ‘kuda hitam’ dan memiliki ramuan melakar kejutan pada kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia itu, yang berlangsung di Forum Horsens.
Advertisement
Rashid, yang juga sebahagian daripada skuad negara menjulang Piala Thomas 1992 di sini, berkata kekuatan kem perseorangan lelaki dimiliki Perancis memberikan kelebihan kepada mereka, sekali gus mengundang ancaman buat pencabar lain termasuk Malaysia.
“Peluang Perancis tinggi juga, selaku underdog (bukan pilihan) memang pasukan lain perlu berhati-hati bertemu mereka. Mereka tiada tekanan malah tiada dalam sejarah lagi Perancis pernah menang (Piala Thomas).
“Berdasarkan pada prestasi semasa perseorangan mereka bagus dan kadang-kadang beregu mereka boleh cetuskan kejutan,” katanya kepada Bernama.
Pasukan Perancis berjaya mendapatkan tonik berharga menjelang Piala Thomas 2026 selepas mencipta kejayaan sensasi muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Eropah buat kali pertama, dan memecahkan dominasi juara sembilan kali berturut-turut, iaitu Denmark menerusi kemenangan 3-2, pada final edisi 2026 di Turkiye, Februari lepas.
Kejayaan itu juga menyuntik inspirasi kepada tunjang utama mereka dan pemain nombor empat dunia Christo Popov untuk muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Eropah 2026, selain naib juara beregu lelaki bersama abangnya Toma Junior Popov.
Bukan itu sahaja, Christo berjaya mengejutkan wakil tuan rumah dan pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi 21-19, 21-9 untuk merangkul gelaran Jejalah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China, Disember lepas.
Perancis juga boleh menaruh harapan kepada kelibat pemain nombor 10 dunia Alex Lanier yang mendakap satu gelaran musim ini pada kejohanan Orleans Masters 2026, selain muncul juara Eropah tahun lepas.
Pemain lain tersenarai ialah Enogat Roy, Eloi Adam, Leo Rossi, Mael Cattoen, Lucas Renoir dan William Villeger.
Perancis diundi dalam Kumpulan D bersama juara 14 kali Indonesia, Thailand dan Algeria.
Mengulas mengenai pasukan Taiwan, Rashid menyifatkan kekuatan seimbang dalam perseorangan dan beregu lelaki sebagai aset utama mereka.
“Taiwan pun kuat, tiga pemain perseorangan mereka bagus dan dua beregu mereka bila-bila masa boleh mengejutkan lawan masing-masing,” katanya.
Taiwan, yang melakar sejarah layak ke separuh akhir buat kali pertama pada edisi lepas di Chengdu, China, menyandarkan harapan kepada juara perseorangan lelaki All England 2026 dan pemain nombor lapan dunia Lin Chun-Yi, serta pemain veteran yang menduduki ranking keenam dunia, Chou Tien Chen, Chi Yu Jen (ke-21) dan Chia Hao Lee (ke-36).
Bagi sektor beregu lelaki, mereka mempertaruhkan pemenang emas Sukan Olimpik dua kali berturut-turut Wang Chi-Lin, yang bergandingan bersama pasangan baharu Chiu Hsiang Chieh, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan (ke-14) dan Liu Kuang Heng-Yang Po Huan (ke-23).
Taiwan diletakkan dalam kumpulan C bersama tuan rumah Denmark, Korea Selatan dan Sweden.
Hanya dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan bakal mara ke suku akhir.
-- BERNAMA