Skip to main content

Malaysia

Pakej pengukuhan daya tahan Selangor cermin pendekatan kebersamaan - Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 13 Mac -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Menara Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad Sabu berkata komitmen Kerajaan Negeri Selangor mencerminkan pendekatan kebersamaan yang amat diperlukan dalam situasi semasa. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan berjumlah RM131 juta bagi mendepani cabaran semasa, khususnya kesan krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos pengeluaran sektor agromakanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata komitmen Kerajaan Negeri Selangor mencerminkan pendekatan kebersamaan yang amat diperlukan dalam situasi semasa.

Advertisement

“Pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap dan menyeluruh.

"Kementerian menghargai komitmen Kerajaan Negeri Selangor yang memperuntukkan RM25 juta bagi sektor pertanian, yang dijangka memanfaatkan lebih 17,000 pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur di negeri tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata langkah itu selari dan melengkapi pelbagai inisiatif kerajaan Persekutuan melalui KPKM dalam membantu golongan sasar di seluruh negara.

“Sinergi ini bukan sahaja memperkukuh daya tahan rantaian bekalan makanan negara, malah memastikan kestabilan bekalan makanan daripada peringkat pengeluaran hingga ke pengguna,” katanya.

Beliau berkata ia termasuk peningkatan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sehingga RM300 sehektar, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi hingga RM400 sebulan kepada petani dan pekebun kecil, serta pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi sektor agromakanan.

Sehubungan itu, beliau berkata KPKM mengalu-alukan lebih banyak kerajaan negeri tampil mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan sasar sektor agromakanan.

“Pendekatan kebersamaan ini amat penting bagi memastikan pemain industri terus berdaya tahan dan keterjaminan makanan negara kekal terpelihara dalam apa jua keadaan,” katanya.

Mohamad turut optimis bahawa gabungan usaha antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan memberi impak yang signifikan dalam melindungi kebajikan pemain industri agromakanan serta memastikan keterjaminan makanan negara terus kekal terpelihara dalam apa jua keadaan.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata menerusi pakej itu, RM130.42 juta diperuntukkan bagi fasa pertama yang akan bermula Jun, setelah kerajaan negeri membuat semakan belanjawan tahunan dan beberapa langkah penjimatan.

Beliau turut dilaporkan berkata pakej itu bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan yang paling terkesan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video