PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud segelintir penguasa Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak segera dan keras dalam menangani amalan tersebut agar ia tidak menjejaskan kerjaya, imej penjawat awam serta negara secara keseluruhan.

Begitu pun, Anwar berkata 'amalan lama' itu yang didakwa berlaku dalam kalangan penguat kuasa Imigresen tidak memberi gambaran secara umum mengenai kerosakan yang berlaku dalam jabatan berkenaan.

"Semalam saya sempat ke KLIA kerana ada sedikit keributan kecil. Tentunya saya lihat semua kaunter Imigresen berfungsi. Maknanya, majoriti staf Imigresen menjalankan tugas dengan baik

"Tetapi sebagaimana juga kita sedar dan sering saya tekankan, ada sekumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan yang lama (rasuah).

"Saya percaya hal itu adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak.

"Selalu kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya pergi untuk beri jaminan bahawa sebenarnya tidak wajar kita memberi gambaran dan persepsi secara umum bahawa ada kerosakan dalam Imigresen.

"Tetapi tidak boleh kita nafikan, (angkanya) terlalu ramai," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai di sini hari ini.

BACA: Kecoh di KLIA: Kronologi dari hari pertama kes mula tular

BACA: Ahli perniagaan lapor polis kes kekecohan libat menteri di KLIA

Jelas Anwar lagi, lawatan beliau ke KLIA bertujuan mempertahankan integriti dan kewibawaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ketika ini berdepan dengan kritikan umum. 

Tambahnya, beliau turut menerima maklumat semalam mengenai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa berkait unsur rasuah berhubung pengeluaran sijil warganegara, dan perkara itu masih dalam siasatan.

Walaupun jumlah dipercayai wang sogokan yang diterima disifatkan kecil, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan, amalan sedemikian perlu dihentikan dan tidak boleh diamalkan.

[TERKINI] Anwar akui segelintir kecil Imigresen masih amal 'sistem lama'

"Harus ada tindakan yang keras dan tegas. Kalau tidak, ia akan merosakan seluruh imej pentadbiran, sama ada kepimpinan yang mampu berbicara tetapi tidak mampu mengamalkan.

".. atau pun imej umum seperti mana yang saya lihat di KLIA, fungsinya baik, kaunter Imigresen itu semuanya berfungsi, Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) pun begitu, dan polis menjalankan tugas dengan baik," ujarnya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan isu tular ‘kekecohan di KLIA’ membabitkan dirinya pada Khamis.

Mengaku terlibat dalam insiden itu, Tiong mendakwa ia secara tidak langsung membuka kepada pendedahan amalan gejala rasuah melibatkan pihak berkuasa terhadap seorang pelancong wanita warga China.