SEMUANYA bermula pada 29 Jun 2023.

Seorang individu, dipercayai menteri, didakwa cuba membebaskan seorang pelawat warga China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Khamis lepas.

Menurut sumber, pelawat itu ditahan pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.

BACA: King Sing akui terlibat kekecohan, dakwa dedah budaya rasuah di KLIA

Individu yang dipercayai menteri itu didakwa memasuki ke Balai Ketibaan tanpa memohon pas kebenaran.

Situasi tegang tercetus apabila pihak berkuasa di KLIA tidak membenarkan beliau 'menyelamatkan' pelawat warga China tersebut.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman memaklumkan tiada laporan yang diterima berhubung insiden tersebut.

"Setakat ini tiada laporan diterima berkaitan kejadian," katanya.

Media tempatan mula melaporkan isu tersebut.

Kekecohan Di Imigresen KLIA: Menguruskan dakwaan & jamin ketibaan pelancong


Menteri tampil jelaskan situasi

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing kemudian tampil menjelaskan isu tular membabitkan dirinya di KLIA pada Khamis.

Mengaku dirinya terlibat dalam insiden berkenaan, kejadian yang tular itu juga, dakwanya, secara tidak langsung telah membuka kepada pendedahan amalan gejala rasuah melibatkan pihak berkuasa terhadap seorang pelancong wanita warga China.

King Sing pada masa sama mempersoalkan isu siapa sebenarnya yang menyalahgunakan kuasa.

BACA: 'Penyebaran video sengaja untuk tutup kesalahan, aktiviti rasuah di KLIA' - King Sing


Jabatan Imigresen siasat

Susulan insiden itu, Jabatan Imigresen telah memulakan siasatan berhubung dakwaan berlaku kekecohan di KLIA melibatkan seorang menteri itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata siasatan serta-merta telah dijalankan berikutan laporan kejadian itu yang tular selepas dilaporkan sebuah portal.

BACA: Imigresen siasat dakwaan menteri cetus kekecohan di KLIA

"Laporan portal berkenaan mendakwa seorang menteri telah mencetuskan kekecohan selepas menuntut pihak Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China yang dikenakan sekatan.

"Jabatan ini sudah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan dalam berita terbabit.

"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Desak lucut jawatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut diminta mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan jawatan seorang menteri yang didakwa membuat kecoh di KLIA.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia kerana tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang walaupun siapa dan apa sekalipun jawatan mereka.

'Kamu kena ingat, menteri bukan penjual bak kut teh''
 
Menteri dakwa video disebarkan kakitangan Imigresen

Kin Sing menuntut satu siasatan terperinci dilakukan berhubung penyebaran video kekecohan membabitkan dirinya yang didakwa menyalahguna kuasa di KLIA pada Khamis.

King Sing menerusi video berdurasi 4 minit 29 saat yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Jumaat turut menjelaskan, akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang penyebaran video berkenaan.

Penularan imej didalangi anggota Imigresen - King Sing

Beliau turut mendakwa, penyebaran video itu adalah tindakan sengaja untuk menutup kesalahan serta aktiviti rasuah yang berlaku di balai ketibaan berkenaan.

"Kenapa orang Imigresen takut sangat orang tular gambarnya. Punca tular ini saya boleh sahkan 100 peratus daripada Imigresen sendiri kerana saya berada dalam pejabat imigresen," katanya.


Persatuan sokong tindakan King Sing

Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyokong penuh tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang  turun padang bagi mendengar keluhan dan melihat isu-isu dihadapi pelancong asing ke negara ini.

Presiden MyBHA, Sri Ganesh Michiel berkata, tindakan beliau itu merupakan usaha yang akan memberi gambaran positif dan menaikkan tahap keyakinan pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia.

BACA: MyBHA, MATA sokong tindakan King Sing dengar keluhan pelancong

Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, sebagai negara yang menjadi tumpuan pelancongan asing, kerajaan perlu menyediakan semua kemudahan termasuk perkhidmatan jurubahasa di kesemua pintu masuk negara.

Menurutnya, aspek komunikasi tidak sepatutnya dijadikan batu penghalang bagi pertumbuhan ekonomi dalam industri pelancongan.


SPRM akan siasat dakwaan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan budaya rasuah membabitkan pihak berkuasa di KLIA.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, memberi jaminan dakwaan oleh King Sing itu akan disiasat dengan sewajarnya.

BACA: SPRM siasat dakwaan menteri mengenai budaya rasuah di KLIA


Laporan polis dibuat

Satu laporan polis turut dibuat seorang warga tempatan berhubung kekecohan melibatkan seorang menteri di KLIA pada Khamis lepas. 

Berdasarkan laporan polis, pengadu, Shariman Nordin yang merupakan seorang pemilik syarikat berkata, dia membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Main Terminal Building pada jam 4.30 petang Sabtu. 

Beliau membuat laporan itu selepas membaca laporan media berkaitan insiden yang tular di Balai Ketibaan KLIA itu dan penjelasan menteri berkenaan.

BACA: Ahli perniagaan lapor polis kes kekecohan libat menteri di KLIA


Polis terima laporan

Polis mengesahkan menerima satu laporan dibuat orang awam berhubung tindakan King Sing menceroboh masuk balai ketibaan KLIA, Khamis lalu.

Semua menteri ada pas VIP - Anthony Loke

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan polis daripada orang awam.

Polis memaklumkan telah membuka siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada Khamis lalu.

Kekecohan Di KLIA: Pegawai imigresen buat laporan polis

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis pada masa ini adalah untuk menentukan sah wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden itu.

BACA: Kertas Enkuiri Polis dibuka berhubung kes kekecohan di KLIA


PM jamin siasatan rapi

Sementara itu pada Ahad Perdana Menteri memberi jaminan siasatan rapi akan dijalankan pihak berkuasa berhubung dakwaan rasuah membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia dan warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook rasminya menegaskan isu tersebut juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

BACA: Dakwaan rasuah di KLIA: PM beri jaminan siasatan rapi akan dijalankan