KUALA LUMPUR: Keindahan sambutan Ramadan juga dikongsi dan dirasai pelakon veteran bukan Islam berbangsa Cina Kenji Sawahi yang turut berpuasa pada bulan mulia ini.

Tujuh tahun belajar dan mendalami Islam, pelakon berusia 61 tahun itu berkata ini merupakan tahun ketiga beliau berjinak-jinak menunaikan rukun Islam ketiga itu.

"Saya nak cuba walaupun saya masih bukan muslim, tapi tak salah. Bila berpuasa saya rasa lebih sayang dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Baru faham apa yang orang miskin yang susah nak makan lalui.

"Setakat ini (Ramadan ke 25) saya hanya tinggal puasa selama dua hari kerana perlu makan ubat akibat alahan resdung," katanya kepada Bernama.

Berkongsi lanjut pengalamannya, Kenji atau nama sebenarnya Lim Boon Wah berkata amalan berpuasa banyak melatihnya lebih bersabar dan mengawal emosi.

Membesar dalam perkampungan Melayu yang juga mempunyai komuniti Siam di Perlis juga banyak mendedahkan pelakon itu dengan pelbagai budaya Malaysia.

Ditanya berkenaan hasrat memeluk agama Islam, beliau berkata masih dalam proses pembelajaran dan mendalami ilmu agama.

"Saya masih cari jalan, niat untuk masuk Islam ada. Insya-Allah satu hari nanti jika tuhan izinkan" katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Iftar dan Sumbangan kepada Artis Veteran Sempena Aidilfitri anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) malam tadi yang turut dihadiri pengerusi YKAT Datuk DJ Dave, naib pengerusinya Datuk M.Nasir serta Datuk Nash dan Datuk Nancie Foo yang merupakan pemegang amanah yayasan itu.

Pada majlis itu seramai 12 artis veteran yang merupakan pemuzik, pelakon dan penyanyi menerima sumbangan wang tunai bernilai RM1,000 antaranya Sayyida Beevi M Shahrul Hameed (Sheeda) dan Rahman Mahmood (Man Kidal).

-- BERNAMA