KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini, dengan penahanan lapan individu termasuk dalang utama bergelar Datuk dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, polis turut merampas 300 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan dua kg ekstasi yang dianggarkan bernilai RM10.8 juta.

Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan terdiri warga tempatan berusia 27 hingga 61 tahun membabitkan tujuh lelaki serta seorang wanita dipercayai teman wanita kepada Datuk terbabit.

"Berdasarkan siasatan, bekalan tersebut dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, bekalan dadah itu diperoleh dari bahagian utara Semenanjung yang dibawa masuk ke Lembah Klang menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau menambah, bagi mengaburi pihak berkuasa, sidniket itu menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah dalam kereta yang diletakkan di sebuah pasar raya di ubu negara yang dijadikan sebagai lokasi pertemuan pelanggan mereka.

Menurutnya, polis turut menyita tujuh kenderaan pelbagai jenis bernilai RM456,000, barang kemas (RM17,566 ) dengan wang tunai RM8,400.

Hasil ujian saringan katanya, polis mendapati enam daripada suspek itu positif dadah jenis methamphetamine, sementara semakan rekod kesalahan lampau mendapati enam orang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dadah.

Yahaya memaklumkan, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati jika disabit dengan kesalahan.