Mana-mana pihak termasuk tiga persatuan pengamal media di Pulau Pinang yang menerima wang daripada dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta menghubungi Kementerian Kewangan sekiranya mahu memulangkan wang tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata mereka boleh menghubungi pejabat kementerian bagi mendapatkan maklumat berkaitan proses untuk memulangkan wang tersebut.

Katanya, walaupun tiada tempoh waktu ditetapkan, namun beliau berharap pihak berkenaan dapat berbuat demikian memandangkan dana yang diterima daripada 1MDB itu masih dalam siasatan.

Tambahnya, mereka tidak perlu menunggu sehingga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan senarai dan tindakan pembekuan akaun persatuan dilakukan.

"Saya hanya sebut mana-mana pihak yang ada terima wang 1MDB dan rasa ada masalah sekiranya mereka hendak pulangkan wang, boleh pulangkan wang, kita ada tabung akaun untuk itu.

"Lebih baik berhubung sama pihak Kementerian Kewangan, panggil kementerian untuk tebus balik, sama ada siasatan terpulang kepada SPRM," kata Guan Eng.

Berhubung saranan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau agar pihaknya mendapatkan semula wang yang keluar daripada 1MDB dimulakan dengan bekas pemimpin UMNO dalam Pakatan Harapan (PH), Guan Eng menyifatkannya sebagai 'tidak masuk akal' sedangkan individu yang dimaksudkan tidak menerima wang daripada dana berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas isu beberapa persatuan pengamal media di Pulau Pinang antara pihak yang menerima wang berkaitan 1MDB.

SPRM juga telah mengeluarkan 41 senarai individu dan entiti terlibat dalam aliran wang 1MDB.

SPRM telah berjaya memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1MDB.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, menyampaikan bantuan bencana kepada penduduk di Pusat Parlimen Bagan di Butterworth pada Sabtu.