Pihak berkuasa menyiasat pejabat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri pada Jumaat dan memperoleh sejumlah dokumen yang berkaitan, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut beliau, serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd itu dilakukan oleh sebuah kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Abdul Gani juga mengesahkan bahawa pasukan khas itu telah memulakan siasatan berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyerahkan kepada beliau beberapa dokumen untuk disemak termasuk dokumen yang berkaitan dengan dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri.

"Siasatan akan memfokus setiap aspek yang dibangkitkan," kata Abdul Gani dalam satu kenyataan.

Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Jumaat mendakwa siasatan kerajaan terhadap 1MDB mendapati wang berjumlah berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Di dalam laporannya, WSJ mendakwa dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendirian bahawa pihak berkuasa penyiasatan seperti SPRM, BNM dan PDRM dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara perlu bertindak segera untuk menyiasat segala tuduhan yang dibuat terhadap Najib.

"Saya yakin siasatan mengenai perkara ini akan dijalankan secara terperinci, telus dan bebas demi mencari kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.

Beliau juga menyambut baik kenyataan Najib yang telah menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau.

"Sekiranya beliau yakin semua tuduhan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata, maka adalah wajar beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang membuat tuduhan demi membersihkan nama beliau dan mengembalikan kredibiliti kerajaan," tambah Muhyiddin.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin semalam berkata dakwaan oleh WSJ tidak boleh diterima kerana ia tidak disertakan dengan dokumen dan bukti yang kukuh.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata jika mereka benar-benar serius tentang kesahihannya, laporan tersebut perlu menamakan sumbernya.

Sementara itu, Abdul Gani meminta semua pihak memberikan kerjasama terhadap proses siasatan dan "tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai."

BACA: 1MDB nafi pernah salur dana ke akaun milik Najib