Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) disaran menetapkan mekanisme supaya setiap dana politik digunakan khusus untuk pilihan raya.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, ia sekaligus memenuhi aspirasi memperkukuh integriti politik tanah air.

"TI-M telah memberi 22 cadangan kepada JKNMPP, dan diharap semua pihak yang terlibat menerimanya dengan ikhlas.

"Yang utamanya, pastikan semua pembiayaan dimasukkan ke dalam akaun parti dan bukannya individu.

"Juga pastikan setiap dana yang dimasukkan diaudit oleh juru audit bertauliah.

"Jawatankuasa juga perlu memastikan wang pembiayaan politik hanya digunakan untuk pilihan raya. Jawatankuasa ini juga boleh memikirkan had derma oleh pembiaya," jelas Akhbar ketika ditemu bual Astro AWANI yang mengulas mengenai penubuhan JKNMPP seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.


Mengulas lanjut, Akhbar menjelaskan buat masa ini Malaysia masih belum mempunyai undang-undang yang spesifik berkaitan dana politik.

"Kita perlu ingat, apa sahaja wang yang dimasukkan dalam akaun individu, dan sekiranya individu itu mempunyai kuasa serta hubungan dengan pemberi, maka kemungkinan besar ia boleh dikaitkan dengan jenayah.

"Ia juga boleh melibatkan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah dan salah guna kuasa atau tipu," katanya.

"Ini kita kena berhati-hati kerana kalau kita menyalahgunakan wang, ia boleh terdedah atau dilibatkan dengan undang-undang yang disebutkan tadi," ujarnya lagi.

Semalam, Najib menjelaskan JKNMPP berperanan untuk menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun.

Ia akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.