KUALA LUMPUR: Pemimpin politik yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi diingatkan agar tidak menggunakan duit demi mendapatkan undi rakyat.

Sebaliknya tegas Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia Chapter, Datuk Seri Akhbar Satar, mereka perlu lebih bersikap 'gentleman' dalam proses demokrasi yang matang.

"Kita kena ingat, politik Malaysia adalah politik rasuah, tiada rasuah bukan maknanya politik, jadi itu masih lagi berleluasa. Bagi saya sudah sampai masanya... kadang-kadang kita lihat di Thailand ada satu parti yang muda dipimpin orang muda, tidak mengharap, tidak beri rasuah, tapi menang.

"Apakah kita tidak boleh buat demikian, iaitu jangan gunakan wang untuk memenangi (pilihan raya) supaya orang muda ini mengundi kita.

"Saya sedih kerana kita takut orang muda yang berpelajaran sanggup menerima ahli politik lama ini, yang mana rasuah ini merupakan satu perkara yang mereka beri keutamaan supaya anak muda dan orang ramai mengundi," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Khamis.

Tambah Akhbar, selain merasuah pengundi, manifesto yang bercita-cita tinggi semata-mata hendak mendapatkan undi, perlu dielak oleh parti yang bertanding.

"Jadi sudah sampai masa, iaitu kita hendak jadi 'gentleman'... tiada rasuah tapi tujuan kita membangunkan masyarakat dan memastikan politik stabil, ekonomi dan sosio bagus dan sebagainya.

"Apabila kita nak laksanakan (dalam) manifesto pastikan juga kita tidak terlalu bercita-cita tinggi, kerana negara tiada duit... janji sahaja tidak boleh dilaksanakan.

"Kedua, pastikan apa sahaja janji itu, kita boleh laksana dengan janji. Perlu ada kejujuran intelek, kempen kita hendaklah menjurus kepada apa kita boleh buat," katanya lagi.