KUALA LUMPUR : Parti Tindakan Demokratik (DAP) bukan diasaskan untuk menentang orang Melayu.

Demikian ditegaskan Anthony Loke Siew Fook, yang merupakan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP.

Katanya, perlembagaan serta asas perjuangan parti itu tidak sama sekali mencerminkan yang DAP anti terhadap kaum Melayu atau mana-mana kaum.

Ujar Ahli Parlimen Seremban itu, sentimen atau pandangan berkenaan hanya sekadar tohmahan yang dilempar bagi memburukkan imej DAP kepada masyarakat.

"Saya nak minta sesiapa yang ada syak wasangka, cuba baca perlembagaan parti yang kita letakkan dalam laman sesawang DAP.

"Dalam perlembagaan parti, dalam asas perjuangan, kita tidak pernah menyatakan bahawa kita anti kepada mana-mana kaum.

"Malah, apabila DAP ditubuhkan, pengasasnya adalah daripada pelbagai kaum. Dari pucuk pimpinan parti, kita sudah ada penglibatan dari kaum Melayu termasuk dari kalangan wakil rakyat," katanya.

Jelasnya, cerminan buruk yang diberikan terhadap DAP adalah propaganda yang menyatakan bahawa parti itu merupakan lawan buat masyarakat Melayu.

Beliau berkata demikian dalam sebuah program khas bersempena ulang tahun ke-55 DAP yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu.