KUALA LUMPUR:Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan parti itu tidak pernah mencadangkan pertukaran Ketua Pembangkang Parlimen yang disandang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Anwar bagaimanapun perlu memberikan fokus terhadap usaha menyatukan gabungan pembangkang terlebih dahulu berbanding menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Ketika saya bertemu dengan beliau (Anwar Ibrahim), pada hari Jumaat, saya meyakinkannya bahawa kepemimpinan DAP tidak pernah mencadangkan pertukaran ketua pembangkang.

"Tetapi pembangkang perlu mengemukakan hala tuju baru yang memfokuskan untuk memperkuat dan menyatukan semua kekuatan pembangkang melalui konsensus nasional yang baharu.

"Perlu digerakkan satu permulaan baru untuk proses pembangunan negara Malaysia dengan konsensus nasional yang baru. Sekarang adalah masa bertindak untuk konsensus nasional baru," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama sebelum ini berkata, Pakatan Harapan memerlukan penjajaran semula politik berikutan kegagalan mengundi Belanjawan 2021.

BACA: Pembangkang harus bersatu, berhenti kejar bayang-bayang, kata Guan Eng dan Mat Sabu

BACA: Tiada masalah dalam PH, tidak timbul isu desak Anwar letak jawatan - Xavier


BACA: 108 pemimpin muda Amanah sokong kenyataan Mohamad, Guan Eng

Sejak itu, beberapa pihak daripada Amanah mengetengahkan idea gagasan gabungan besar untuk menyatukan kembali pembangkang.

Sementara itu, AMK Selangor berkata walaupun terbuka untuk membincangkan kemungkinan tersebut tetapi menegaskan menolak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke dalam gabungan besar berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata dia percaya presiden partinya masih mampu mendapatkan jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu.