Skip to main content

Advertisement

Malaysia

Dapatkan imunisasi anak Tahun 1 mengikut jadual - KKM

51589519058_KKMVaksin.jpg
Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di Tahun 1 diminta mendapatkan imunisasi anak masing-masing di fasiliti kesihatan berhampiran apabila menerima jadual janji temu perkhidmatan itu melalui pihak sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh negara kini menghadapi wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penyampaian perkhidmatan imunisasi di sekolah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana sesi persekolahan masih belum bermula.

Justeru perkhidmatan imunisasi kepada murid sekolah terbabit kini boleh didapati di Klinik Kesihatan berdekatan.

Perkhidmatan imunisasi sekolah merupakan  salah  satu  perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada murid di sekolah dalam usaha untuk mencegah penularan penyakit berjangkit.

“Imunisasi adalah merupakan satu cara yang paling berkesan dalam menangani kejadian penyakit  berjangkit dalam kalangan  kanak-kanak,” menurut Datuk Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.

“KKM  ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan  imunisasi  kepada  murid sekolah masih lagi diteruskan dan semasa tempoh penutupan sekolah pada tahun  2020, di mana perkhidmatan imunisasi ini akan diberikan di  fasiliti kesihatan kerajaan seperti Klinik Kesihatan atau Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

“Ini akan melibatkan pemberian imunisasi mencegah penyakit demam campak (Measles), Rubella, Difteria dan kancing gigi (Tetanus) untuk murid tahun satu, imunisasi Human Papillomavirus (HPV) bagi murid perempuan tingkatan satu dan imunisasi ATT (dos tambahan vaksin Tetanus) bagi murid tingkatan tiga,” kata Datuk Dr Noor Hisham lagi.

“Pada tahun 2020, keutamaan diberikan kepada pemberian imunisasi untuk murid Tahun Satu,” katanya lagi.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga diminta membawa anak-anak yang berada dalam Tahun Satu untuk mendapatkan imunisasi di fasiliti kesihatan berhampiran sebaik sahaja menerima jadual temu janji perkhidmatan imunisasi melalui pihak sekolah.

“Untuk  tujuan  ini, KKM  juga  telah  mendapatkan kerjasama  Kementerian  Pendidikan  Malaysia  untuk  membantu  dalam menyelaras  pemakluman  kepada  ibu  bapa  atau  penjaga  mengenai perkhidmatan imunisasi ini.

“Dalam  keadaan  di  mana  Malaysia  sedang  dalam  usaha membendung penularan jangkitan COVID-19, ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya diseru untuk bersama-sama KKM dan memainkan peranan masing-masing dalam  usaha mencegah  penyakit  berjangkit,” kata Ketua Pengarah Kesihatan itu lagi.

Advertisement

Must Watch Video