Sebelum ini, kes baharu di Malaysia pernah turun sehingga satu angka namun kini, jumlahnya melonjak berlipat kali ganda sehingga pernah hampir mencecah lima angka.
Jumlah kematian pula merekodkan empat angka dan peningkatan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) menghadirkan resah kepada rakyat.
Kepadatan di ICU sehingga mencapai kapasiti maksimum bukan perkara main-main, namun masih ada yang tidak percaya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini menegaskan, penggunaan katil ICU di seluruh Malaysia melepasi tahap 104 peratus.
Melihat kepada angka tersebut, kita perlu akui keadaan di Malaysia semakin buruk.
Saban hari, ribuan kes baharu direkodkan, ratusan pesakit dimasukkan ke dalam ICU dan/ majoritinya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Apa yang menyedihkan, masih ada dalam kalangan kita yang alpa, tidak kurang juga sebilangan yang mendakwa COVID-19 tidak benar.
Dakwa mereka lagi, krisis COVID-19 rekaan kerajaan semata-mata. Tergamak mereka melemparkan tuduhan sedangkal itu!
“COVID-19 is real, in fact situasi telah bertukar daripada dulu sampai hari ini.
“Situasi sekarang sangat serius, maknanya kes-kes yang datang ke hospital semua memerlukan bantuan alat pernafasan dan kes-kes ini sangat tenat.”
Kenyataan tegas itu datang daripada Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur.
Andai mahu cerita sebenar COVID-19, beliau antara orang yang sesuai membicarakannya.
Sejak hari pertama virus itu menyerang negara, petugas kesihatan di hospital tersebut merupakan individu terawal ‘berperang’ dengannya.
Melepasi pertengahan tahun 2021, perit untuk diakui namun menurut Dr Kuldip, keadaan sekarang semakin meruncing.
“Semua pesakit yang datang ke Hospital Sungai Buloh adalah pesakit kategori empat, semuanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Ada yang datang terus kena masuk ke ICU. Kes kita sekarang, kalau kata di hospital sekarang penuh, dalam kes yang penuh ini, kebanyakan pesakit yang ada dengan kita memerlukan katil ICU.
“Hanya sedikit memerlukan katil di wad tapi kebanyakan memerlukan katil ICU,” tegasnya.
Lebih membimbangkan, lima hari daripadanya merekodkan angka melebihi 900 pesakit.
Jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula melebihi 400 orang dengan jumlah tertinggi direkodkan pada 10 Jun, seramai 462 pesakit.
Situasi di Hospital Sungai Buloh sama seperti hospital lain, mereka kini kekurangan katil untuk menempatkan pesakit COVID-19 tahap empat dan lima.
Menurut Dr Kuldip, empat wad termasuk Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) ditukar fungsi kepada ICU.
Diberi kesempatan berada di hospital tersebut, kru Astro AWANI terus ke CCU, lokasi dimaksudkan Dr Kuldip.
Saat melangkah masuk ke dalam CCU, mata terus tertancap kepada sekujur tubuh di atas katil.
Lelaki, mungkin 50 atau 60 tahun usianya, hanya terbaring dengan beberapa tiub dimasukkan ke dalam mulutnya.
Pada usia sebegitu, sepatutnya mereka kini berehat di rumah, bermain dengan cucu namun kini bertarung nyawa di katil hospital.
Lima bilik yang lain, keadaannya sama.
Hati sayu, sebak, tidak dapat bayangkan rasanya jika yang terbaring itu adalah insan tersayang.
Melihat satu demi satu wajah pesakit, meskipun tiada sebarang reaksi namun kesengsaraan mereka seolah-olah sampai di jiwa.
Selesai di CCU, kru Astro AWANI turun ke Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.
Sama juga keadaannya, dipenuhi lelaki, wanita yang sudah berusia, memakai alat bantuan pernafasan sepanjang masa.
Doktor, jururawat sentiasa bergerak, ke kiri, ke kanan, masuk, keluar dan masuk semula, sentiasa komited jalankan tugas.
Yang melihat pun terasa penatnya apatah lagi mereka yang melaluinya.
Katil di dalam jabatan tersebut, semuanya penuh malah di wad lain juga sama namun pesakit baru tetap masuk setiap hari.
“Itulah situasi kita sekarang. Kalau siapa-siapa hospital lain minta nak masukkan pesakit ke ICU, kita tak dapat bantu masa ini sebab setiap masa ada 30 ke 40 pesakit yang ada di jabatan kecemasan yang masih belum dapat katil untuk naik ke atas, di wad,” kata Dr Kuldip.
Hospital Sungai Buloh mempunyai 94 buah katil untuk ICU namun hari berganti hari, jumlah itu tidak lagi mencukupi.
Memburukkan keadaan, situasi sama juga berlaku kepada hospital lain di seluruh negara.
Peringatan sudah banyak kali disuarakan namun jika ada yang terus leka, semua akan terkena tempiasnya.
Tonton laporan eksklusif “Dari Dalam ICU Sungai Buloh” ini di AWANI 745 malam ini dan siri kedua yang memaparkan lebih banyak realiti dalam ICU, esok.