'Dari Faisal Halim ke Haresh Deol, keganasan terhadap pengkritik kian meningkat' - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media di Putrajaya, mengulas serangan terhadap Haresh Deol yang disifatkan sebagai tanda kemerosotan kebebasan bersuara dan peningkatan budaya ganas. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Serangan oleh beberapa individu tidak dikenali terhadap Timbalan Presiden Kelab Akhbar Nasional (NPC), Haresh Deol, baru-baru ini disifatkan sebagai tanda kemerosotan norma masyarakat dan tadbir urus negara.
Ringkasan AI
- Serangan terhadap Timbalan Presiden Kelab Akhbar Nasional (NPC), Haresh Deol, disifatkan sebagai tanda kemerosotan norma masyarakat dan tadbir urus negara.
- Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan insiden itu sebagai contoh baharu di mana individu yang menyuarakan pandangan kritikal terdedah kepada tindak balas, termasuk perbuatan ganas.
- Situasi tekanan terhadap individu yang mengkritik tindakan Kerajaan juga dinyatakan berlaku, menunjukkan keadaan ketakutan dalam masyarakat kini.
“Saya fikir benda-benda macam ini tak pernah berlaku. Kalau ada orang kata sesuatu yang tak disukai oleh kerajaan, dia disoal oleh polis, dia didera, dia diminta supaya mengisytiharkan kekayaan yang dia curi – walaupun dia tak curi. Ini tekanan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, Rabu.
Dr Mahathir mendakwa situasi sama berlaku apabila seseorang mengkritik tindakan kerajaan, sehingga berdepan tekanan daripada pihak berkuasa.
“Apabila seseorang whistleblower memberitahu kerajaan tentang satu-satu kesalahan, whistleblower itu akan disiasat. Sebab itu sekarang ini orang hidup dalam ketakutan dalam negara kita ini.
"Dan kita dapati kadang-kadang tindakan ganas dibuat. Seorang pemain bola sepak (Faisal Halim) telah disimbah dengan asid. Ini tak pernah berlaku dulu. Apa sebab nak buat benda semacam itu kepada seorang football player.
“Baru-baru ini kita dapati ada satu orang itu, dia menyuarakan pendapat dia berkenaan dengan keadaan dalam negara. Dan apabila dia menyuarakan keadaan dalam negara, entah kenapa dia diserang oleh dua orang dan ada video yang diambil,” katanya lagi.
Pada Selasa, Haresh, yang juga Pengarang Urusan portal TwentyTwo13 dan wartawan veteran sukan, mendakwa beliau diserang oleh dua individu di ibu negara sebelum mereka melarikan diri. Kejadian itu dirakam oleh seorang lagi individu.
Ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Brickfields pada Selasa, Haresh berkata serangan itu mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pandangannya mengenai isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Haresh secara konsisten mengkritik FAM berhubung kegagalan tadbir urus, ketelusan dan integriti dalam isu pemain naturalisasi.
Dalam artikelnya bertajuk “FIFA exposes FAM’s shame, Malaysians deserve answers”, beliau menyifatkan pendedahan FIFA sebagai tamparan hebat kepada Malaysia dan menuntut bukti sahih warisan pemain.
Dalam pada itu ketika ditanya sekiranya isu tersebut berhubung kait dengan serangan ke atas Haresh, Dr Mahathir berkata masyarakat kini sudah mula hidup dalam ketakutan kerana situasi seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Ada tindakan-tindakan ganas sekarang ini terhadap sesiapa yang menyuarakan sesuatu yang mungkin tidak disukai oleh pihak tertentu. Umpamanya kita tipu bagi kerakyatan kepada orang asing, footballer. Jadi orang ini yang diserang ini, dia menegur.
“Dia kata itu tak betul … dia kena serang. Dalam football pun kalau nampak orang itu main belah pasukan lawan, boleh diserang. Ini dulu tak pernah jadi macam ini,” katanya.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan serangan terhadap Haresh Deol dan individu lain yang menyuarakan pandangan kritikal? A: Tun Dr Mahathir menyifatkan insiden itu sebagai contoh baharu di mana individu yang menyuarakan pandangan kritikal terdedah kepada tindak balas, termasuk perbuatan ganas, menunjukkan keadaan ketakutan dalam masyarakat kini.
- Q: Apa yang dimaksudkan dengan "situasi tekanan terhadap individu yang mengkritik tindakan Kerajaan" yang dinyatakan berlaku? A: Situasi tersebut merujuk kepada tekanan yang dihadapi individu apabila menyuarakan pandangan kritikal terhadap tindakan Kerajaan, sehingga menyebabkan mereka berdepan dengan tekanan daripada pihak berkuasa dan masyarakat.
- Q: Apakah yang menyebabkan Haresh Deol diserang dan mengapa beliau mengaitkan serangan itu dengan pandangannya terhadap isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)? A: Haresh mendakwa serangan mungkin berpunca daripada pandangannya terhadap isu FAM, di mana beliau secara konsisten mengkritik tadbir urus, ketelusan, dan integriti FAM dalam isu pemain naturalisasi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

