KUALA LUMPUR: Bermula dengan hanya sekitar RM70 ketika berangkat ke Bangkok, Thailand untuk mencari peluang kerjaya, seorang anak Malaysia kini membawa pengalaman dan kepakarannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengalaman Herizal Hezri yang kini menjadi Penasihat Kanan kepada Higher Committee of Human Fraternity (HCHF), berpangkalan di Abu Dhabi itu menjadi antara titik permulaan kerjayanya dalam bidang pembangunan demokrasi, tadbir urus dan keamanan antarabangsa.
Berkongsi kisah itu menerusi audio siar The Tiger Show yang disiarkan pada Jumaat (23 Oktober), Herizal menceritakan bagaimana beliau mengambil langkah awal untuk mendapatkan peluang bekerja dengan Asian Network for Free Elections (ANFREL), sebuah rangkaian yang terlibat dalam pemantauan pilihan raya sehingga sanggup meninggalkan kerjayanya di syarikat minyak dan gas negara, Petronas.
“Saya dapat tawaran daripada Petronas, untuk pergi temu duga dan saya dapat kerja di Kerteh, Terengganu.
“Jadi, saya bekerja di loji penapisan Kerteh dan kerja saya ini menjaga barang-barang logistik untuk loji dekat Kerteh itu sebagai junior officer.
“Tapi lepas dua hingga tiga bulan itu, saya merasakan bahawa ini bukan saya. Saya tidak rasa macam ini satu benda yang saya nak buat (bekerja di Petronas),” katanya.
Selepas kembali ke Kuala Lumpur, Herizal mula mencari peluang lain sebelum memutuskan untuk ke Bangkok bagi mencuba mendapatkan peluang bekerja dengan ANFREL, meskipun wang yang dimilikinya ketika itu hanya sekitar RM70 selain berdepan dengan pelbagai kekangan lain.
Beliau kemudian terlibat dalam pemantauan pilihan raya di 11 negara, termasuk Afghanistan, sebelum menyertai The Asia Foundation dari 2005 hingga 2021.
Pengalaman itu diteruskan apabila beliau menerajui Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia), sebelum berpindah ke UAE pada 2024 untuk berkhidmat sebagai Penasihat Kanan di Higher Committee of Human Fraternity (HCHF).
Perjalanan kerjaya Herizal memperlihatkan bagaimana pengalaman yang dibina secara berperingkat membuka ruang kepada peluang di peringkat antarabangsa, daripada kerja pemantauan pilihan raya kepada usaha berkaitan keamanan dan persefahaman antara agama.
Mengakhiri perkongsian, Herizal turut menyampaikan tiga pesanan kepada golongan muda yang ingin membina kerjaya di peringkat antarabangsa.
“Yang pertama, kalau you bukan daripada keluarga yang terkenal, jangan risau, because the world is not going to judge you by where you come from but who you are.
“Berani buat sahaja, sebab saya bukan daripada keluarga terkenal.
“Yang kedua, kalau you ada sesuatu yang you minat dan you nak buat, teruskan.
“Kalau you tak ambil langkah pertama itu, tak jadi apa,” katanya lagi.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam pesanan ketiganya turut menasihatkan golongan muda bahawa selepas mendapat pendedahan dan peluang, seseorang perlu memanfaatkannya untuk membina kredibiliti diri melalui minat, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab, sekali gus meningkatkan peluang untuk terus maju dalam kerjaya.
Walaupun tidak berasal daripada keluarga elit atau berpengaruh dan dibesarkan oleh ibu tunggal selepas bapanya meninggal dunia ketika dirinya berusia tiga tahun, Herizal membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penentu kejayaan seseorang.