KUALA LUMPUR:Apabila pengisytiharan darurat dilaksanakan, Kabinet masih boleh berfungsi seperti biasa sekiranya Yang di-Pertuan Agong merasakan ia perlu diteruskan.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, tidak timbul isu di mana Kabinet perlu ditukar atau ahlinya perlu meletak jawatan kerana semuanya bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Jika YDPA merasakan Kabinet perlu diteruskan untuk membolehkan mereka membuat keputusan dengan lebih cepat dan responsif, jadi tidak ada isu.

"Kalau dilihat sebelum ini, ada kuasa diberikan kepada agensi yang melaksanakan tugas-tugas menguruskan negara tetapi dalam konteks hari ini semuanya terpulang kepada YDPA.

"Penting untuk meneruskan kesinambungan kepada pentadbiran yang ada supaya mereka boleh beri tumpuan khusus kepada agenda yang lebih utama," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

Beliau juga menambah, kuasa eksekutif akan diteruskan jika YDPA merasakan ia satu keperluan.

"Mana-mana individu yang bergelar menteri dalam eksekutif, mereka boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab seperti yang sudah termaktub sebelum ini," katanya.

BACA: Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu