KUALA LUMPUR: Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) merupakan langkah ke hadapan Malaysia dalam bergerak seiring dengan transformasi ekonomi global menerusi pencapaian baharu teknologi merentas dunia fizikal, digital dan biologi.
Pengadaptasian teknologi baharu termasuk automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), mesin ke mesin (M2M) serta Internet benda (IoT) turut mempengaruhi cara dunia beroperasi pada ketika ini.
Penggunaan teknologi ini bersifat merentas keupayaan, ia dapat dibuktikan dengan bagaimana teknologi 4IR mampu dimanfaatkan dan menyalurkan faedah bersama dalam membantu usaha dunia mendepani penularan pandemik COVID-19.
Dasar 4IR Negara yang dilancarkan pada Julai lalu telah digubal dengan menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan agar rakyat memanfaatkan teknologi, selain mengekalkan nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan warisan budaya selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika majlis pelancaran berkata, dasar bersepadu tersebut mengandungi empat teras dasar utama yang menyasarkan tiga kumpulan iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.
Menurut beliau, teras dasar berkenaan tertumpu dalam melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran 4IR, membentuk negara yang ada kesalinghubungan menerusi pembangunan infrastruktur digital, menyediakan peraturan sesuai dengan keperluan masa hadapan agar fleksibel terhadap perubahan teknologi serta mempercepatkan inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.
Manfaat yang besar terhadap sosial, ekonomi dan negara
Secara keseluruhannya, teras dasar diperkenalkan ini memberi fokus kepada pewujudan ekosistem yang kondusif untuk negara memanfaatkan peluang dan menangani risiko yang terbit daripada 4IR.
Penggunaan teknologi 4IR berpotensi memberi manfaat ekonomi dan sosial yang besar. Ia turut menyediakan penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran sosial dan alam sekitar yang kritikal.
Perniagaan
Sektor swasta boleh memanfaatkan platform, ekosistem dan pasaran digital 4IR untuk mencipta bersama dan bekerjasama dalam model perkongsian baharu. Syarikat perniagaan perlu melabur dalam pembangunan inovasi dan menerima guna penyelesaian digital serta menerajui beberapa inisiatif Dasar 4IR Negara.
Pertumbuhan dan pembangunan mampan sektor swasta dapat diterjemah sebagai penyertaan yang bermakna dalam agenda pembangunan komuniti dan sosioekonomi.
Masyarakat
Pendigitalan serta teknologi baharu muncul menawarkan peluang besar kepada masyarakat dalam menambah baik cara berhubung antara satu sama lain dan dengan institusi berkaitan.
Bagaimanapun kita (rakyat) terlebih dahulu perlu bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan usaha transformasi 4IR ini. Ia termasuk dalam memastikan kita mempunyai ketersediaan digital melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran masing-masing.
Penggubalan dasar ini membuka peluang besar kepada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi memanfaatkan teknologi baharu dalam meningkatkan impak dan mencapai misi penting mereka.
Teknologi menerusi Dasar 4IR Negara juga mampu mewujudkan rakyat Malaysia yang mampu berdiri seiring dengan negara-negara yang banyak mencipta teknologi seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah.
Kerajaan
Melalui Dasar 4IR Negara, kerajaan menyediakan hala tuju strategik dan membuat keputusan dasar berhubung bidang fokus dan tindakan yang perlu dilaksanakan untuk membangunkan ekosistem pelengkap yang membolehkan revolusi yang bertanggungjawab serta mampan.
Teknologi Al berpotensi untuk meningkatkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sehingga 26 peratus dalam dekad akan datang. Selain itu, 70 peratus daripada sasaran yang ditetapkan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yakin dicapai dengan memanfaatkan penggunaan teknologi 4IR.
Antara lain, sasaran ini adalah berkaitan usaha mencapai tahap kesihatan yang baik, sumber tenaga yang bersih dan mampu bayar serta komuniti yang mampan.
Manfaat lain yang diterima termasuk:
1. Peluang perniagaan baharu dan penciptaan nilai
2. Peningkatan kecekapan dan produktiviti
3. Pewujudan pekerjaan baharu
4. Transformasi pekerjaan yang 'bahaya, kotor dan sukar (3D)'
5. Peningkatan kualiti hidup
6. Peningkatan kualiti alam sekitar
Dasar negara yang dipacu lima teknologi utama
Dasar 4IR Negara ini dipacu oleh lima teknologi asas iaitu:
AI
AI boleh dimisalkan sebagai elektrik kepada 4IR, berikutan lebih banyak peranti, aplikasi dan sistem yang saling berhubung telah diterapkan dengan elemen pintar.
Teknologi ini juga dijangka meningkatkan KDNK global dengan tambahan sebanyak AS$15.7 trilion (RM66.48 trilion) pada tahun 2030 dan melonjakkan KDNK negara maju di rantau Asia, tidak termasuk China iaitu sebanyak 10.4 peratus
Antara manfaat lain yang kita boleh lihat daripada penerapan fungsi AI adalah kenderaan pintar. Kenderaan dengan dilengkapi fungsi AI mampu dikuasakan dengan ciri sensor pandu-automatik (autopilot).
Ia turut menyokong ciri digital termasuk pengecaman suara dan pergerakan, pengesanan mata, kawalan pemandu selain sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang membolehkan kenderaan memandu secara automatik atau dikenali sebagai autopilot.
IoT
IoT adalah komponen penting dalam penyelesaian AI yang membolehkan berbilion peranti pintar mengesan, memberi tindak balas dan menyalurkan data. Data juga merupakan pemboleh daya utama bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi penyelesaian AI.
Penggunaan IoT turut digalakkan secara aktif dalam sektor pertanian untuk memodenkan pertanian dan meningkatkan keseluruhan kecekapan dan produktiviti sektor ini.
Golongan agroprenuer muda boleh memanfaatkan IoT dengan menggunakan konsep pertanian pintar (smart farming) dalam tanaman fertigasi melibatkan aspek penjagaan, siraman air, membaja, meracun selain dapat mengurangkan berlaku kecuaian melibatkan pekerja.
Blockchain
Teknologi blockchain lazimnya dikenali sebagai alat yang membolehkan penggunaan mata wang digital serta diguna pakai dalam mentransformasi pelbagai proses sedia ada dalam sektor perniagaan, kerajaan dan masyarakat.
Teknologi ini dijangka menjana nilai perniagaan tahunan melebihi AS$3 trilion (RM12.70 trilion) menjelang tahun 2030. Sebanyak 10 hingga 20 peratus infrastruktur ekonomi global dianggarkan menggunakan sistem blockchain pada tahun sama.
Blockchain selain itu turut boleh dimanfaatkan dalam usaha meningkatkan sekuriti penyimpanan data pesakit dalam sektor perubatan khususnya di hospital.
Selain perbankan, hospital juga boleh menggunapakai ekosistem teknologi blockchain daripada penyimpanan data pesakit, maklumat lampau pesakit sehingga perubatan mereka.
Pengkomputeran awan dan analitis data raya (BDA)
Pengkomputeran awan merupakan penyampaian perkhidmatan pengkomputeran melalui internet bagi menawarkan kemampuan untuk inovasi yang lebih pantas, sumber lebih fleksibel dan ekonomi bidangan.
Manakala teknologi BDA adalah aplikasi teknik menganalisis termaju ke atas set data yang sangat besar dan pelbagai daripada sumber berlainan.
Penerimagunaan pengkomputeran awan dan BDA amat penting dalam menyediakan asas bagi membuka lebih banyak peluang dalam teknologi pengkomputeran baharu.
Bahan dan teknologi termaju
Bahan dan teknologi termaju merujuk kepada set teknologi nano dan teknologi lain sains bahan bagi menghasilkan fungsi ditambah baik yang ketara atau fungsi baharu sepenuhnya.
Teknologi ini mampu meningkatkan kelebihan daya saing sektor pembuatan negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada input asing dan mengeluarkan produk yang mempunyai nilai ditambah lebih tinggi bagi tujuan eksport.
Kemajuan dalam teknologi 3D Bioprinting contohnya dapat memberi manfaat dalam dunia perubatan dalam menghasilkan organ tiruan (artificial organ) manusia.
Ia mampu menghasilkan organ buatan seperti hati, ginjal dengan memiliki fungsi bagi menggantikan organ tubuh manusia yang telah rosak.
Teknologi 4IR mampu mencipta suasana kehidupan lebih baik termasuk mewujudkan pekerjaan baharu yang bermakna serta dapat meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
Ia turut memberi manfaat dalam meningkatkan tahap kesihatan serta pendidikan yang lebih baik selain mewujudkan pembangunan bandar lebih pintar bagi dinikmati oleh setiap rakyat.
Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa Dasar 4IR Negara adalah komitmen kerajaan dalam mempersiapkan masyarakat, perniagaan dan kerajaan secara amnya untuk mendepani cabaran selain memanfaatkan peluang yang wujud daripada revolusi perindustrian ini.
Untuk memahami lebih lanjut, orang ramai boleh memuat turun penerbitan Dasar 4IR Negara di pautan ini.
Haikal Raman
Tue Aug 03 2021
Dasar 4IR Negara menggunakan pendekatan berpaksikan kemanusiaan agar rakyat dapat memanfaatkan teknologi secara sepenuhnya.
'Ada berbincang dengan PKR, tapi saya belum buat keputusan' - Tengku Zafrul
Tengku Zafrul belum membuat sebarang keputusan berhubung penyertaan dalam mana-mana parti politik.
Banjir di Pahang semakin pulih, mangsa di Johor kekal 36 orang
Kesemua mangsa berkenaan dari daerah Maran yang berlindung di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian.
10 Berita Pilihan - (15 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Sekurang-kurangnya 11 maut selepas Siklon Chido melanda wilayah Mayotte, Perancis
Sekurang-kurangnya 11 orang disahkan maut dan lebih daripada 250 cedera selepas Siklon Chido melanda Wilayah Lautan Hindi Perancis, Mayotte.
69 pendatang asing ditahan dalam perhimpunan pra-Krismas di Nilai
Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menahan 69 pendatang asing warga Myanmar yang menghadiri perhimpunan sambutan pra-Krismas di sebuah hotel dua bintang di Bandar Nilai, semalam.
IMF puji pembaharuan ekonomi Malaysia, minta lakukan tindakan lanjut untuk kukuhkan daya tahan
Menurut IMF, prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh memberikan negara peluang untuk memajukan agenda reformasi yang bercita-cita tinggi.
Hampir 37 kampung di Kuala Krai diramal banjir bermula Selasa - JPS
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi semalam.
AWANI Ringkas: Sukan badminton | Jenayah
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
AWANI Ringkas: Kebakaran | Politik
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Sekolah di Damsyik dibuka semula
Sekolah-sekolah di Damascus dibuka semula kepada pelajar pada Ahad seminggu selepas kejatuhan Kerajaan di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Dasar 4IR pacu transformasi pembangunan sosioekonomi negara
Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) merupakan langkah ke hadapan Malaysia dalam bergerak seiring dengan transformasi ekonomi global.