Dasar kesihatan awam perlu berpaksikan sains, bukan ideologi

Sidang Kemuncak kelapan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) yang berlangsung di Athens, Greece baru-baru ini disertai lebih 200 pakar dari 51 negara. - Foto Astro AWANI
ATHENS: Dasar kesihatan awam berlandaskan sains dan bukan ideologi serta sentimen politik seharusnya dijadikan panduan terhadap kawalan penggunaan produk berasaskan tembakau di seluruh dunia.
Ringkasan AI
- Pakar kesihatan antarabangsa gesa dasar kawalan tembakau berasaskan sains, bukan ideologi, dengan menekankan strategi pengurangan kemudaratan melalui produk alternatif yang selamat.
- Contoh kejayaan seperti Sweden dan Greece menunjukkan pendekatan saintifik mampu kurangkan kadar merokok serta lindungi golongan muda.
- Pakar seru penilaian semula Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) supaya tumpuan kembali kepada objektif asal mengurangkan kemudaratan akibat merokok.
“Meningkatkan pengetahuan golongan profesional penjagaan kesihatan, pengawal selia, pembuat dasar dan masyarakat adalah penting.
“Bukti yang diperolehi turut menunjukkan peralihan daripada rokok kepada produk yang kurang memudaratkan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya dalam Sidang Kemuncak kelapan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) yang berlangsung di Athens, Greece baru-baru ini.
Beliau menambah, salah tafsir, penolakan dan salah maklumat terus menjadi penghalang kepada kemajuan sains dalam pembentukan dasar.
Katanya lagi, kerjasama antara negara, kumpulan profesional dan komuniti bersama-sama pemegang taruh berupaya membina momentum ke arah dunia yang bebas rokok.
KEJAYAAN SWEDEN
Sweden merupakan negara dalam Kesatuan Eropah (EU) yang berjaya mengurangkan kadar merokok ke tahap paling rendah iaitu pada lima peratus.
Menurut Presiden Fagerstrom Consulting, Profesor Karl Fagerstrom, ia dicapai melalui penggunaan produk tembakau oral yang mana secara tradisinya digunakan dalam kalangan pekerja di Sweden.
Tegas beliau, data sebenar membuktikan pendekatan terbabit merupakan strategi berkesan mengurangkan kemudaratan berbanding rokok.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, pengharaman produk tembakau oral di kebanyakan negara di Eropah memberi gambaran wujudnya jurang antara sains dan keputusan dasar kesihatan awam; yang mana kadangkala dipengaruhi oleh ideologi.
DASAR BERPANDUKAN SAINS
Menurut bekas ahli parlimen Eropah, Dr Stelios Kympouropoulos, berhenti merokok memberi manfaat kepada aspek fizikal, kesihatan mental serta mengurangkan kemurungan, seterusnya meningkatkan kualiti hidup.
Bagaimanapun, beliau yang juga pakar psikiatri, menekankan pengurangan kemudaratan adalah satu kewajipan moral apabila wujudnya alternatif yang lebih selamat dan dikawal selia.
Katanya lagi, pendekatan yang lebih ketat perlu diperkenalkan bagi melindungi golongan muda.

Bekas ahli parlimen Eropah, Dr Stelios Kympouropoulos tekankan perlu wujud alternatif yang lebih selamat dan dikawal selia.
Dr Stelios turut mencadangkan lima dasar utama dilaksanakan EU; meliputi kawal selia pintar dan praktikal, berteraskan sains, mengurangkan kadar merokok, melindungi golongan muda dan membendung pasaran gelap.
GREECE LINDUNGI KUMPULAN BAWAH UMUR
Undang-undang baharu berkaitan perlindungan kanak-kanak daripada produk tembakau dan alkohol yang diluluskan Greece pada Julai 2025 telah menunjukkan hasil memberangsangkan.
Setiausaha Agung bagi Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Greece, Christina-Maria Kravvari, menjelaskan sejak 2019 dasar kawalan tembakau negara itu adalah berasaskan bukti dan penilaian saintifik yang ketat bagi produk nikotin; termasuk kesan memudaratkan.
“Pendekatan ini membolehkan Greece mencatatkan pengurangan kedua tertinggi kadar merokok di EU antara 2020 hingga 2023. Ia merupakan pendekatan berasaskan situasi sebenar dan menjadi tanggungjawab kami mengukuhkan perlindungan kesihatan awam,” katanya.

Setiausaha Agung bagi Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Greece, Christina-Maria Kravvari jelaskan undang-undang baharu Greece melindungi kanak-kanak daripada produk tembakau dan alcohol.
Menerusi kerangka ini, tambahnya lagi, Greece memperkenalkan toleransi sifar terhadap pendedahan kumpulan bawah umur kepada tembakau, nikotin dan alkohol.
Ia katanya, bertujuan menyediakan pilihan strategik kepada masyarakat negara itu khususnya kepada golongan belia untuk berada dalam persekitaran bebas ketagihan dan memudaratkan.
TUJUAN ASAL PENGURANGAN KEMUDARATAN
Sementara itu, Pengarah Counterfactual Consulting Limited United Kingdom, Clive Bates, menyifatkan pelaksanaan Konvensyen Kerangka Bagi Kawalan Tembakau (FCTC) perlu dinilai semula.
Katanya yang juga pakar dasar kawalan tembakau, pengenalan FCTC bertujuan menangani krisis merokok global dengan mengurangkan kesan kepada kesihatan, sosial, ekonomi dan alam sekitar.
“FCTC menyedia kerangka untuk negara di seluruh dunia termasuk pengharaman pengiklanan, cukai yang tinggi, kekangan penjualan dan sokongan untuk berhenti merokok. Tetapi adakah ia berkesan?,” katanya ketika berucap menerusi dalam talian dalam sidang kemuncak THR kelapan.

Pengarah Counterfactual Consulting Limited United Kingdom, Clive Bates gesa pelaksanaan Kerangka Bagi Kawalan Tembakau (FCTC) perlu dinilai semula.
Tegas Clive, penekanan terhadap penggunaan produk nikotin dan ketagihan telah beralih daripada objektif asal iaitu mengurangkan kemudaratan merokok.
Beliau menggesa supaya tumpuan perlu kembali kepada objektif utama menjadikan penggunaan nikotin kepada tingkah laku berisiko rendah.
Sidang kemuncak kelapan THR yang berlangsung selama dua hari bermula 30 September 2025 di Athens, Greece disertai lebih 200 pakar dari 51 negara.
Malaysia disertai Profesor Pengurusan Hospital dan Ekonomi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dan Profesor Pusat Ketagihan bagi Kajian Dadah Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Vicknasingam B Kasinather.
Tumpuan diberikan terhadap pelaksanaan dasar, kawalan produk tembakau dan pasaran gelap membabitkan produk rokok di Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami