PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki mengingatkan warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu agensi itu dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pentadbiran Ketua Pesuruhjaya baharu.
Dalam amanat terakhirnya sempena hari terakhir perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam menegaskan bahawa sebarang usaha mensabotaj kepimpinan baharu sama seperti menggugat organisasi sendiri.
“Tolong beri sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya (KP) baharu. Biarlah beliau menjalankan tugas dengan lancar. Jangan sabotaj KP baharu kerana jika anda mensabotaj KP baharu, bermakna anda mensabotaj organisasi sendiri.
“Berikanlah sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Khusairi (Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM), dan dua lagi pengurusan tertinggi di sini kerana mereka akan meneruskan legasi kita ini,” katanya.
Azam berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Selasa.
Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya.
Sebelum ini, Azam, telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta dari 12 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.
Diminta mengulas mengenai kenyataan tersebut, Azam ketika ditemui media menegaskan dalam mana-mana organisasi, semua pihak perlu taat kepada pemimpin yang dilantik, walaupun bukan dalam kehendak atau pilihan peribadi.
“Itulah maksudnya, kita mesti beri kerjasama kepada kepimpinan yang baharu kerana ia amat penting.
“Bila datang kepimpinan baharu, ini yang saya tekankan berdasarkan pengalaman saya dahulu bersama pegawai BPR (Badan Pencegahan Rasuah) dan SPRM.
“Siapa pun yang menjadi ketua, kita akan tetap taat kerana kita berada di sini sebagai pegawai yang berkhidmat untuk rakyat,” ujar beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, Azam berkata beliau akan terus berkhidmat dan bekerja selagi tenaga dan khidmatnya diperlukan dalam apa jua kapasiti yang bersesuaian.
Ujar Azam, sekiranya tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam, beliau akan memberi tumpuan dalam memanfaatkan keluarga serta masyarakat.
“Seperti yang saya katakan tadi, lelaki ini tetap akan bekerja sehingga masjid panggil untuk dikerandakan. Saya tetap akan bekerja dan berkhidmat kepada rakyat selagi mana tenaga saya diperlukan.
“Saya juga akan cuba membantu apa yang boleh berdasarkan pengalaman saya dalam menegakkan tadbir urus yang baik, integriti dan sebagainya di mana-mana tempat yang memerlukan,” tambahnya.
Dalam masa sama, Azam memaklumkan tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak luar, selain menegaskan tidak akan terlibat dalam dunia politik.
“Tidak, saya tidak menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak luar, jauh sekali untuk menjadi ahli politik,” katanya.