PUTRAJAYA: Kerajaan bakal membangunkan dasar mineral negara dalam tempoh tiga bulan yang akan turut membabitkan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram yang berleluasa di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, implikasi kegiatan haram itu telah mengakibatkan negara berdepan kerugian selain turut mendatangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

“Aktiviti perlombongan memang hasilkan pendapatan kepada negara tetapi dalam masa sama kalau ia tidak diurus dengan teratur, ia mampu mendedahkan bahaya terhadap alam sekitar.

“Secara prinsipnya ia telah dipersetujui namun perlu dipinda bersesuaian dengan dasar yang bakal dibangunkan serta maklum balas dari pihak kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara kali kedua di Putrajaya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadillah turut memberitahu, negara mempunyai potensi yang besar terhadap mineral yang dilihat mampu menjana pendapatan yang positif terhadap negara.

Menurutnya, negara mempunyai nilai rizab mineral yang mencecah RM4 trilion bagaimanapun ia perlu diusahakan secara proaktif bagi memperoleh angka berkenaan.

Menyentuh mengenai soal penguatkuasaan, Fadillah menjelaskan ia akan melibatkan seluruh agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Dalam pada itu, beliau berkata, Kedah mencatatkan aktiviti perlombongan haram yang paling tinggi dan perkara itu juga telah diakui sendiri oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Ada 60 (aktiviti perlombongan haram), sekarang ini pasukan petugas sudah diwujudkan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Jika berdasarkan laporan akhbar, kebanyakannya membabitkan nadir bumi dan paling banyak sekali adalah di Kedah, diakui Menteri Besar Kedah itu sendiri (ketika mesyuarat) tadi ," katanya lagi.