PUTRAJAYA : Kementerian Pengangkutan memberi jaminan akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada kementerian tersebut dengan sebaik-baiknya.

Menurut menterinya, Anthony Loke, warga kementerian digesa untuk melaksanakan dasar dan polisi yang sedang dan akan dijalankan oleh kementerian tersebut bagi memudahkan rakyat.

Ia termasuk tanggungjawab baharu yang diberikan kepada kementerian tersebut bagi sektor logisitik.

"Satu lagi sektor penting adalah kita juga bertanggungjawab bagi sektor logisitik, sukacita dimaklumkan Kementerian Pengangkutan memang ada perancangan untuk naik taraf sektor logisitik dan kami mengangkat cadangan supaya logisitik ini dinaik taraf sebagai satu bahagian baharu dalam kementerian.

"Kita harap tidak lama dari sekarang kita akan dapat satu bahagian baharu, bahagian logistik. Sebelum ini sektor udara, darat dan maritim yang merupakan tonggak utama dalam Kementerian Pengangkutan," katanya ketika berucap Majlis Simpulan Kasih Malaysia Madani dan Perhimpunan Bulanan Tahun 2023 Kementerian Pengangkutan pada Selasa.

Beliau turut mengharapkan dengan struktur yang lebih kukuh yang dijalankan kementerian tersebut, sektor logisitik terus berkembang maju.

Jelasnya, apa sahaja perubahan adalah untuk memudahkan rakyat dalam segala pelaksanaan yang dirangka.

Beliau turut memberi contoh kepada pembaharuan lesen kepada 10 tahun yang diumumkan kementerian tersebut baru-baru ini.

Malah, beliau memberi jaminan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang akan dijalankan sebaik-baiknya.