KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan negara menguasai 4IR, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat itu mengabungkan dunia digital, fizikal dan biologi merangkumi empat teras utama.

"Pertama, melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR.

"Kedua, membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.

"Ketiga, menyediakan peraturan yang sesuai dengan keperluan masa hadapan supaya fleksibel terhadap perubahan teknologi, dan terakhir, mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR," jelasnya dalam Majlis Pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara secara maya pada Khamis.

Keempat-empat dasar itu, jelas Mustapa, akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR.

"Teras ini akan dilaksana berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang telah dikenal pasti.

"Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam semua inisiatif," katanya lagi.

Dalam majlis sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata kerajaan telah mengenal pasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan.

Ia melibatkan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan (cloud computing) dan analisis data raya (BDA).

"Seperti mana yang telah dapat kita lihat pada hari ini, kesemua lima teknologi teras ini sememangnya telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara kita melakukan sesuatu perkara.

"Baik melalui big data analytics, AI, cloud computing, blockchain mahupun IoT, kesemuanya telah membantu manusia daripada segi perancangan, pelaksanaan mahupun keputusan.

"Walaupun Malaysia bukanlah negara yang paling terkehadapan dalam pengadaptasian teknologi, namun Malaysia juga bukanlah negara yang terkebelakang," katanya.

Malah, jelas Khairy, dasar berkenaan dilihat sebagai komitmen kerajaan untuk mempersiapkan masyarakat dan perniagaan menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang wujud daripada revolusi perindustrian.

"Bagi meningkatkan kadar pengunaan teknologi 4IR yang bersifat disruptif, pendekatan ‘future by design’ seperti venture builder perlu digunakan dengan pembangunan ekosistem yang kondusif dan inklusif.

"Ia merangkumi rantaian bekalan dan nilai untuk membolehkan pihak industri mencipta produk-produk bernilai tinggi yang bersesuaian dengan kehendak pasaran tempatan dan global.

"Melalui pendekatan quadruple helix pula, pelbagai peluang baharu yang memacu ke arah keseimbangan sosio-ekonomi yang mampan," jelas Khairy lagi.

MOSTI, ujarnya, sentiasa menyokong usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pembangunan teknologi sekali gus melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2021-2030).

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Khamis.

Dasar 4IR bakal melibatkan 10 sektor iaitu Pembuatan, pengangkutan dan logistik, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian, utiliti, kewangan dan insurans, perkhidmatan profesional saintifik dan teknikal, perdagangan borong dan runcit dan pelancongan. 

Manakala enam lagi sektor sokongan bagi dasar itu antaranya pembinaan, harta tanah, perlombongan dan pengkuarian, perkhidmatan maklumat dan komunikasi, perkhidmatan keseniaan, hiburan dan rekreasi dan pentadbiran dan khidmat sokongan.