PUTRAJAYA: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata data Tanah Rizab Melayu di Kedah yang dikemukakannya di Dewan Rakyat adalah data yang diperoleh daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) setakat tahun lepas.

Nik Nazmi pada sidang Dewan Rakyat pada 29 Mac lepas dilaporkan menyatakan tanah rizab Melayu di Kedah menurun dan kenyataan itu bagaimanapun dinafikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Semalam, beliau memaklumkan telah menghantar surat penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul sebagai maklum balas kepada usul merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Secara jelas saya menyatakan bahawa jawapan saya ini berdasarkan jawapan yang disediakan oleh JKPTG yang mana mereka mengumpul data tanah rizab Melayu setiap tahun daripada pentadbir tanah negeri.

"Saya telah menunjukkan surat terakhir yang diterima daripada negeri Kedah bertarikh 30 Nov 2022 iaitu jumlah tanah rizab Melayu yang disebut ialah sama dengan jawapan saya di Parlimen," kata Nik Nazmi dalam sidang media di sini hari ini.

Mengenai dakwaan ada pertambahan tanah rizab Melayu di Kedah pada tahun ini, Nik Nazmi berkata kerajaan Persekutuan masih belum memperoleh data tersebut.

"Dakwaan di peringkat negeri Kedah ialah ada penambahan (rizab tanah Melayu) selepas itu, iaitu pada tahun 2023. Jadi data itu tidak sampai kepada peringkat kerajaan Persekutuan," katanya.

-- BERNAMA