Datuk Seri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara berkuat kuasa pada Rabu.

Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri pada Khamis, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Tan Sri Dr. Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Mohd. Zuki, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Persekutuan Sarawak serta menjawat jawatan selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.