KUALA LUMPUR:Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti sebanyak 174 kawasan titik panas (hotspot) yang sering berdepan masalah banjir di sekitar ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, daripada jumlah itu, masalah di 70 kawasan tersebut telahpun berjaya diselesaikan manakala 120 kawasan lagi masih dalam proses diambil tindakan.

“DBKL telah meluluskan dana sebanyak RM25 juta untuk tujuan menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur dan melalui peruntukan itu kita akan lakukan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca banjir, lakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek kecil-kecilan untuk atasi masalah berkenaan.

"Sehingga kini, hasil daripada kajian itu, kita mengesan beberapa punca berlakunya banjir di kawasan tersebut antaranya saliran laluan air tepi jalan tersumbat, masalah sampah, penemuan kabel elektrik dipasang di dalam longkang dan pembangunan yang pesat.

"Penemuan tersebut menjadi halangan fizikal yang membuatkan aliran air tidak berkesan khususnya apabila hujan lebat menyebabkan kejadian banjir kilat berlaku.

“Bagaimanapun sebarang tindakan lanjut pengurusan banjir kilat ini khususnya pelaksanaan projek yang lebih besar akan ditentukan selepas menilai secara menyeluruh kajian yang dibuat dan ianya akan dibentangkan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) pada April ini," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.



.

Dalam pada itu, Mahadi berkata, satu Task Force Banjir Kilat telah ditubuhkan  DBKL membabitkan pelbagai pihak termasuk Ikram bagi memastikan operasi mencegah banjir dapat disepadukan.

.

"Task Force Banjir Kilat ini sebenarnya pernah ditubuhkan sebelum ini tetapi fungsinya tidak begitu mantap dan selepas saya dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur, kita perbetulkan dan perkemaskan dengan menambah skop kerja dan keahlian," katanya.

JPS saran guna tasik dalam taman awam sebagai kolam takungan untuk selesai isu banjir

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memanfaatkan kolam di semua taman awam untuk dijadikan kolam takungan banjir, Pengarah Eksekutif Perancang DBKL, Datuk Sulaiman Mohamed berkata, perkara itu perlu dinilai selepas kajian terperinci dibuat pihak berkaitan.

"Kita kena tengok kajian duhulu untuk melihat kolam di taman awam (sama ada sesuai) dijadikan kolam takungan banjir (atau tidak).

"Bagaimanapun kolam yang ada tidak akan diganggu untuk memberi kesan keupayaan kolam berkenaan jika ia boleh dijadikan kolam takungan air.

"Kawasan taman di Kuala Lumpur ada yang sudah diwartakan dan dalam proses untuk memelihara daripada terlibat dengan pembangunan," ujarnya.

Astro AWANI sebelum ini mendedahkan projek pembinaan Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Sultan Yahya Petra, di sini didakwa gagal berfungsi kerana tidak diselenggara pihak berwajib sehingga menyebabkan kawasannya dipenuhi lumpur, tanah dan sampah.

.

Dalam siri laporan itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali mengesahkan projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah itu merupakan sebahagian daripada RTB Sungai Bunus, tergendala sejak Jun 2019.

BACA: Banjir Kuala Lumpur: JPS sah projek kolam takungan tergendala akibat masalah kontraktor

Laporan Khas | RTB Sungai Bunus tidak diselenggara?