Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) mengumumkan enam teras pelan strategik yang berharap kerajaan negeri dapat melaksanakan untuk masyarakat Bidayuh bagi mencapai eknomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Ketua Penasihatnya, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata ia merupakan dokumen yang mengandungi cadangan untuk program dan projek bagi membantu masyarakat Bidayuh mempersiapkan diri dan mengambil bahagian dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Objektif utamanya ialah menyediakan rangka kerja bagi pembangunan komuniti Bidayuh jadi tiada siapa yang ketinggalan," katanya dalam ucapan aluan sempena perhimpunan tahun baru DBNA, di sini malam tadi yang dihadiri 1,000 orang melibatkan 21 cawangan DBNA termasuk dari Lembah Klang.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik

Enam teras pelan strategik 2020-2030 bagi komuniti Bidayuh itu ialah kemampanan organisasi, pendidikan dan kemahiran; pembangunan, budaya, bahasa dan warisan; dokumentasi tanah NCR dan pembangunan tanah NCR; program pembangunan usahawan; serta pembangunan masyarakat dan perkhidmatan kebajikan sosial.

Pelan strategik itu kemudiannya diserahkan kepada Abang Johari oleh Manyin selepas diumumkan pada malam ini.

Ia adalah pelan strategik kedua sejak perumusan yang pertama pada 2007.

Saranan itu adalah hasil daripada sesi bengkel yang diadakan pada November tahun lepas anjuran bersama DBNA dan Persatuan Graduan Bidayuh Sarawak (BGA) untuk mengenal pasti, menjelaskan dan menangani bidang-bidang keutamaan bagi pembangunan dan kemajuan masyarakat.

-- BERNAMA