Semangat kenegaraan dalam kalangan belia memainkan peranan yang penting dalam memastikan peningkatan kematangan demokrasi negara.

Setiausaha Sulit Menteri Belia dan Sukan, Amshar Aziz menekankan bahawa rakyat perlu mempunyai sifat sayang pada ibu pertiwi bagi memastikan negara ini menjadi negara demokrasi yang matang selaras dengan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama ini.

“Apabila kami melihat isu kerajaan PH yang seringkali dikatakan melakukan ‘pusingan u-turn’, ia bukannya ‘u-turn’.

“Kita mendengar suara rakyat dan ia sangat penting untuk kami memastikan sesuatu demokrasi itu matang.

“Kami melihat kerajaan sebelum ini, itulah akibat apabila suara rakyat tidak didengar,” katanya.

BACA: Mengundi 18 tahun mengiktiraf peranan belia

Beliau berkata demikian ketika berdebat dengan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman dalam program Debat AWANI yang bertajuk "Undi 18: Kematangan minda bukan jaminan undian matang" terbitan Astro AWANI yang berlangsung di Bukit Kewangan pada Isnin.



Tambah Amshar, anak muda mempunyai peluang untuk mencorak landskap politik negara ini.

“Dalam parti saya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), anak muda lantang bersuara apabila mereka tidak percaya dan tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh orang atasan.

“Itulah politik matang yang kita mahukan, lebih banyak anak muda boleh menyuarakan pendapat mereka secara terbuka dan berbahas, berdebat serta bertukar pendapat.




“Saya percaya disebabkan perkara tersebut, lebih ramai anak muda ingin menyertai parti politik atau sekurang-kurangnya menyertai perbincangan tentang parti politik masa depan negara,” tambah Amshar.

Sebagai membalas hujan Amshar, Adnan Seman berkata, kematangan umur tidak menjadi kebimbangan.

Sebaliknya, kematangan politik dibimbangkan dari segi kematangan maklumat yang disampaikan.




“Kebimbangan kami ialah kematangan politik itu dibimbang bukan atas sebab kematangan umur, tetapi dari segi kematangan maklumat yang disampaikan. Bagaimana golongan belia menerima maklumat, bagaimana mereka diberikan janji, kempen serta hasutan.

“Seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ramai yang katakan mereka tersalah pilih kerana terpedaya dengan janji palsu.

“Jadi kita bukan bercakap mengenai soal kematangan, kita bicara soal kebertanggungjawaban parti politik yang beranding,” kata Adnan.