Angin yang bertiup dari arah barat laut boleh mengakibatkan debu gunung berapi Sinabung di Indonesia bergerak ke selatan semenanjung Malaysia sekali gus berupaya mengganggu operasi penerbangan dan mengurangkan jarak penglihatan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) berkata maklumat terkini menunjukkan angin yang sedang bertiup itu akan berterusan sehingga Rabu ini dan akan memantau perkembangan tersebut.

MET akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa berhubung keadaan arah angin dan ancamannya kepada operasi penerbangan dan jarak penglihatan.

Sabtu lepas, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia mengesahkan sekurang-kurangnya 16 maut dan tiga cedera ekoran letusan gunung berapi Sinabung di daerah Karo, Sumatera Utara.

Gunung berapi itu terus mengeluarkan awan panas sehingga kini dan sekali gus membahayakan nyawa mereka yang terkena debunya.

Penduduk yang tinggal berhampiran juga telah diarah berpindah ke penempatan sementara bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Indonesia terdedah kepada bencana termasuk letupan gunung berapi kerana kedudukannya di lingkaran api pasifik.

Gunung berapi Sinabung adalah antara 130 gunung berapi aktif di Indonesia serta mengeluarkan asap dan debu sejak September.