Bagi melindungi kawasan tadahan air negara khususnya di Ulu Tembeling, Pahang, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), beberapa NGO termasuk aktivis dan pakar alam sekitar serta ahli-ahli akademik sepakat mengeluarkan satu deklarasi bersama yang menuntut perhatian dan tindakan pihak berkuasa.

Deklarasi Ulu Tembeling yang dilihat sebagai usaha akhir itu antara lain, menggariskan tujuh perkara termasuk memperakui bahawa kejadian air sungai cetek khususnya Sungai Tembeling dan Sungai Pahang yang berlaku sekarang bukan semata-mata berpunca dari fenomena El-Nino atau kemarau panjang.

Sebaliknya, ia juga berpunca daripada pembalakan dan pembukaan hutan bagi tujuan perladangan yang tidak terkawal di kawasan hutan tadahan air semulajadi bagi sungai-sungai di Ulu Tembeling.

BACA: 8 perkara anda perlu tahu mengenai laporan khas Sungai Tembeling

Deklarasi berkenaan juga mengisytiharkan kejadian Sungai Tembeling dan Sungai Pahang yang cetek itu sebagai "bencana air negara".

"Sehubungan itu, kami mendesak kerajaan negeri Pahang supaya menghentikan serta-merta semua kegiatan pembalakan yang membabitkan kawasan hutan tadahan air semulajadi bagi ulu Sungai Tembeling dan semua anak-anak sungainya, termasuk Sungai Kembir, Sungai Kanchin, Sungai Pengau, Sungai Sepia, Sungai Neriak, Sungai Lempah dan Sungai Tekai serta di kawasan sekitar Gunung Dulang dan Gunung Ais, meliputi kawasan banjaran gunung berkenaan,"


Demikian menurut deklarasi berkenaan yang ditandatangani oleh 12 wakil daripada beberapa NGO baru-baru ini termasuk PEKA, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Yayasan Salam Malaysia dan Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Deklarasi itu diwujudkan sempena Misi Selamatkan Hutan Tadahan Air Negara selama tiga hari dari 13 hingga 15 Mei,di Ulu Tembeling, Jerantut.

Ia disertai 150 orang peserta terdiri daripada pakar-pakar alam sekitar, ahli akademik, NGO, aktivis alam sekitar dan pengamal media untuk meninjau kawasan tadahan hutan tadahan air semulajadi di Ulu Tembeling.

Selain itu, deklarasi tersebut juga memperakui pembalakan tidak terkawal di Ulu Tembeling berpunca daripada penyelewengan dan kegagalan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa negeri terutamanya Jabatan Perhutanan Pahang.

"Justeru itu, kami mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai yang terbabit," menurut deklarasi itu lagi.

Menurut Pengerusi PEKA Pahang, Khaidir Ahmad, deklarasi berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam masa terdekat.