KUCHING: Selepas disenaraikan sebagai Geopark Kebangsaan pada 20 Jun tahun lalu, Kerajaan Sarawak kini menyasarkan Delta Sarawak untuk memperoleh pengiktirafan Geopark Global UNESCO 

Perkara ini dimaklumkankan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang menyifatkannya sebagai salah satu langkah strategik untuk merangsang aktiviti ekonomi dalam rangka pembangunan mampan di negeri itu.

“Delta Sarawak mempunyai potensi dalam meningkatkan aktiviti sosioekonomi negeri itu, dan pengiktirafan geopark ini akan meningkatkan lagi industri pelancongan di Sarawak seiring dengan reputasi tingginya dalam memelihara khazanah alam.

Sarawak kata Awang Tengah lagi, akan membangunkan tapak geo ini sebagai sebahagian daripada penjenamaan geopark.

“Ia secara tidak langsung akan memberi manfaat sosioekonomi yang ketara kepada komuniti tempatan, melalui penciptaan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Inisiatif ini juga akan mengintegrasikan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber asli dan warisan budaya di samping meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Ahad, sempena lawatannya ke Pulau Jeju, Korea Selatan.

Sarawak tegasnya lagi, mempunyai air terjun, gunung, gua dan pantai, yang berpotensi untuk dipertingkatkan melalui penjenamaan geo tersebut.

“Proses ini malah akan membantu mempromosikan tarikan pelancongan tempatan dengan mengintegrasikan sumber geologi yang unik.

Ini termasuklah mengetengahkan kepelbagaian naratif komuniti setempat, sejarah budaya, makanan istimewa yang dihasilkan daripada tapak geo, makanan tradisi, cerita rakyat dan aktiviti yang bakal memanfaatkan alam semulajadi.

Jelasnya, lawatan beliau ke Pulau Jeju membuktikan geopark adalah penting untuk menarik pengunjung selain mempromosikan ciri geologinya yang unik.

“Papan tanda dan tafsiran dalam tapak geo adalah penting untuk membimbing pelawat dan meningkatkan pemahaman mereka tentang ciri-ciri warisan geologi, biologi dan budaya.

“Perlu untuk kita mencontohi Jeju UNESCO Global Geopark dalam meningkatkan kebolehcapaian akses untuk tapak geo di Sarawak,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, inisiatif Geopark Delta Sarawak bermula pada 2004 dan dilancarkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada April 2021.

Geopark Delta Sarawak mencakupi kawasan seluas 3,112 kilometer, dengan landskapnya mengandungi 28 geotapak batuan, 12 biotapak (kepelbagaian biologi) dan 14 tapak budaya.

Formasi Delta Sarawak didasari pelbagai jenis unit yang berusia, merangkumi karbon hingga resen, selain dihuni spesies endemik di Borneo seperti Orang Utan, orang Belanda dan Cicak Batu Fairy.